Kes mati bergaduh kerana kemalangan, bukan perkauman, kata polis


Pegawai polis membawa suspek yang terlibat dalam kematian seorang pengguna jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan dekat Bandar Baru Bangi semalam, ke mahkamah Kajang, hari ini. – Gambar The Malaysia Insight oleh Nazir Sufari, 11 Ogos, 2019.

KEMATIAN seorang lelaki selepas pergaduhan akibat kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan dekat Bandar Baru Bangi semalam tiada kaitan langsung dengan isu perkauman, kata polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat berkata kes yang disiasat polis ialah kes bunuh susulan pergaduhan akibat kemalangan kecil jalan raya, dan bukannya isu perkauman.

“Motif kejadian ini adalah berpunca daripada isu kemalangan jalan raya dan tiada kena mengena dengan isu perkauman sepertimana yang telah diviralkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak semalam, satu klip rakaman video tular di media sosial menunjukkan suspek dan mangsa di tepi lebuh raya. Penyebaran rakaman itu mengundang pelbagai komen yang berbaur perkauman kerana kebetulan kemalangan itu melibatkan suspek Cina dan mangsa Melayu.

Mahkamah Majistret Kajang hari ini membenarkan sepasang suami isteri ditahan reman tujuh hari sehingga Sabtu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Siasatan awal mendapati kejadian bermula akibat dari kemalangan kecil selepas Tol Sungai Besi menghala selatan di mana kereta si mati melanggar bahagian belakang kereta suspek.

Polis turut menahan isteri kepada suspek yang terlibat dalam kematian seorang pengguna jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan dekat Bandar Baru Bangi semalam. – Gambar The Malaysia Insight oleh Nazir Sufari, 11 Ogos, 2019.

“Ekoran itu, berlaku kejar mengejar dan cabar mencabar sehinggalah kedua mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi,” kata Fadzil.

he Malaysian Insight difahamkan suspek membawa kereta jenis Innova sementara mangsa memandu kereta jenis Axia.

Siasatan polis menunjukkan pada ketika itu beberapa pemandu lain juga masuk campur untuk mententeramkan mangsa dan suspek, tambahnya.

Mangsa bagaimanapun tidak puas hati dan mengambil besbol dari bonet keretanya dan memukul kereta suspek

“Suspek memandu kereta ke hadapan dalam keadaan tergesa-gesa dan terlanggar si mati. Mangsa tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan,” kata Fadzil.

Mangsa di bawa ke Pusat Perubatan Nilai dan meninggal dunia semasa dirawat.

Polis sebelum ini merayu orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi mana-mana balai yang terdekat atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat Siti Sarah Aisyah Saad di talian 016-406 4202. – 11 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen