PRU14: Tugas baharu mahasiswa


MINGGU lepas saya meluncurkan buku sulung saya bertajuk “Mahasiswa Bukan Macai, Pendidikan Bukan Politik” terbitan Dubook Press.  

Ketika majlis pelancaran itu berlangsung, saya memegang erat prinsip yang politik kampus bukanlah politik “anak-anak” yang boleh diketawakan oleh para hadirin.

Saya tegas menyatakan politik nasional adalah politik yang membosankan, tetapi politik kampus akan menjadi faktor yang besar kepada landskap politik kita pada masa hadapan.

Kebanyakan hadirin ketika itu melemparkan senyuman sinis ketika saya berkata sedemikian, bahkan saya turut menambah kepedasan hujah dengan ayat: mahasiswa tidak mahu dengar cakap politikus, kami mahu politikus yang dengar cakap kami!

Saya melihat ramai pemerhati politik kampus melihat mahasiswa ini sebagai kanak-kanak yang tidak boleh berbuat apa-apa, sehingga mereka terlupa betapa ramainya tokoh politik yang bobrok hari ini lahir daripada politik kampus.

Melentur bulu biarlah daripada rebungnya, kalau di kampus sudah mula menjadi pengampu dan penindas, maka perangai ini akan diteruskan sehingga menjadi wakil rakyat!

Resolusi baharu

Ketika peluncuran buku tersebut, saya terkilan kerana kebanyakan aktivis mahasiswa yang saya kenali tidak hadir.

Rupa-rupanya saya terlupa hakikat mahasiswa terlalu sombong untuk bersolidariti. Mujurlah rasa terkilan itu terubat dengan kemunculan beberapa sahabat aktivis mahasiswa.

Usai peluncuran buku, kami melakukan diskusi seputar isu Pilihan Raya Kampus (PRK) terutamanya di universiti-universiti yang belum menerima kunjungan pesta demokrasi kampus ini.

Saya melemparkan soalan kepada seorang aktivis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memandangkan PRK mereka akan berlangsung pada minggu ini. Soalan saya; apakah yang boleh dibantu untuk PRK kali ini?

Aktivis daripada UIAM itu menjawab secara sinikal; tidak ada kumpulan mahasiswa di UIAM yang boleh diberikan harapan untuk membela mahasiswa.

Oleh itu, mereka bercadang untuk menjalankan kempen mengundi dengan bijak.

Saya berpandangan apa yang ingin dilakukan oleh kolektif mahasiswa UIA ini merupakan satu langkah yang bijak.

Selama ini kebanyakan kolektif mahasiswa sibuk “menggoda” mahasiswa untuk menyertai mereka, dan sesekali kaedah politik kotor diambil. Kalau pun ada program-program yang memberi kesedara dan ilmu politik kampus, selalunya program tersebut akan disertai dengan propaganda menyertai pasukan penganjur.

Kewujudan satu pasukan bebas yang memberi pencerahan tentang kepentingan memilih wakil mahasiswa yang betul adalah penting untuk memastikan mahasiswa mengundi menggunakan “otak” bukan sekadar mata dan telinga semata-mata.

Undi mahasiswa

Beberapa hari lepas, sebuah “fanpage” Facebook mesra Barisan Nasional (BN) mengeluarkan sebuah poster yang bagi saya ditafsir secara salah berkenaan sokongan mahasiswa terhadap parti itu berdasarkan keputusan PRK.

Mereka telah menafsirkan apa sahaja kumpulan yang tidak lantang mengkritik pemerintah atau universiti, merupakan pasukan yang menyokong BN.

Ini hujah falasi. Pagi ini saya bersarapankan sebuah tulisan berkenaan undi anak muda yang ditulis oleh Nome Nazwir. Saya tertarik dengan idea perbezaan generasi yang dibangkitkan.

Jika kita imbau semula momentum ketika negara menghampiri Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), ia cukup memukau.

Ramai anak muda ketika itu betul-betul merasakan kerosakan yang banyak sedang berlaku di negara ini, dan pemerintah harus ditukar untuk menjamin masa hadapan negara.

Aksi-aksi mahasiswa ketika itu juga kelihatan lebih rancak, lebih-lebih ia merupakan kali pertama AUKU membenarkan keterlibatan mahasiswa dalam pentas politik.

Paling penting, koalisi politik di pihak pembangkang juga kelihatan begitu ampuh dan mampu memberi sinar harapan kepada rakyat Malaysia. Itu adalah zaman anak muda dan mahasiswa merasakan wujud harapan pada politik negara, seterusnya menjadi pemangkin untuk mereka turut serta dalam gelombang perubahan.

Walaupun zaman gelombang perubahan ini baru beberapa tahun berlalu, tapi melihat kepada kondisi politik tanah air ketika ini, saya berpandangan zaman itu sepertinya sudah berlalu pergi.

Kebanyakan anak muda dan mahasiswa menghidap sindrom “political fatigue” (kelesuan politik) akibat terlalu muak dengan permainan politikus di negara ini.

Mereka sudah tidak kisah apa yang berlaku dengan politik negara, kerana pemain-pemain politik negara tidak mampu memberi keyakinan kepada golongan ini. Pemerintah atau pembangkang, kedua-dua pasukan gemar menimbulkan isu yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat.

Menyuntik kesedaran politik

Melihat senario politik negara ketika ini, saya berpandangan mahasiswa mempunyai tugas yang berat menjelang PRU14. Tugas tersebut adalah memberi didikan politik kepada para pengundi untuk memilih wakil yang betul dan berkaliber.

Tugas ini lebih sukar berbanding meyakinkan rakan-rakan di kampus, kerana mahasiswa sering dilihat sebagai kumpulan yang masih “mentah” lagi, terutamanya untuk berbicara tentang hal-hal politik.

Bermula di kampus sehinggalah di kampung-kampung terpinggir, mahasiswa dengan kerjasama pelbagai pihak harus memberi pencerahan kepada para pengundi untuk turun mengundi dan mengundi dengan betul jika mahu tempoh 4-5 tahun akan datang “punya wakil” di Parlimen.

Jika mengundi dengan salah, maka keghaiban wakil rakyat di Parlimen akan menyebabkan hak-hak pengundi terabai.

Jika sudah tidak percaya pada politikus, maka percayalah memberi kepintaran kepada rakyat akan melahirkan kerajaan yang lebih baik. Hal ini kerana rakyat yang pintar tidak akan membiarkan pemerintah melakukan aksi-aksi yang merugikan rakyat. – 7 Oktober, 2017.

* Rahman Imuda merupakan aktivis mahasiswa dan penulis buku.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen