-2.jpg)
PENIAGA peralatan vape dan e-rokok memberi alasan ia kurang memudaratkan. Sememangnya berbanding dengan 7,000 bahan dihasilkan dalam asap rokok, vape dan e-rokok kurang bilangan bahan-bahan dalam asap yang dihasilkan.
Ini tidak boleh menjadi alasan untuk membenarkan pengedaran barangan ini. Racun tetap racun sama ada sedikit atau banyak.
Pengukuran bahan toksik menggunakan ukuran LD50 iaitu amaun bahan toksik yang mengakibatkan kematian 50% sampel. Inilah gambaran tentang semua bahan toksik.
Rokok bunuh 50% daripada penggunanya sebelum tempoh hayat biasa. Vape dan e-rokok masih kurang maklumat tetapi kemudaratannya tidak boleh dinafikan.
Laporan pihak berkuasa di negara-negara lain serta hasil kajian awal hanya menemui bahaya kepada keselamatan dan kesihatan manusia.
Pada 2016, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan kepada jemaah menteri supaya peralatan vape diharamkan.
Malangnya jemaah menteri tunduk kepada pelobi peniaga vape yang ramai di kalangan keluarga ahli politik berpengaruh.
Ketua pengarah dan timbalan ketua pengarah masa itu bertegas dengan pendapat sebagai pakar kesihatan tidak setuju dengan keputusan menteri walaupun mereka akur dengan dasar diputuskan semasa itu.
Menteri membuat keputusan untuk mengawal penjualan peralatan vape dengan mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membangunkan piawaian untuk peranti vape dan penggunaan bahan nikotin dikawal di bawah Akta Racun 1952 oleh KKM.
Ini keputusan yang kurang wajar kerana jika peralatan vape dan e-rokok diterima sebagai bantuan untuk berhenti merokok, ia harus menjadi peralatan rawatan kesihatan dikawal oleh KKM bukan dibenarkan untuk dijual sebagai barangan pengguna.
Masih peniaga menggunakan hujah “mengapa tidak mengharamkan rokok” untuk memesongkan perhatian umum.
Kita harus faham purata 23% penduduk merokok atau hampir 50% lelaki dewasa merokok dan perangkaan ini semakin parah jika diperincikan mengikut kaum.
Walaupun pada 1980-an persatuan pengguna mendesak kerajaan untuk mengharamkan rokok, setelah merujuk cabaran ini ke Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pihak WHO setelah berunding lebih 20 tahun memutuskan strategi kawalan tembakau dengan menerima Konvensyen Rangka-kerja Kawalan Tembakau (FCTC) pada 21 Mei, 2003.
Kini 181 pihak menjadi parti kepada satu-satu perjanjian antarabangsa berkaitan kesihatan ini.
WHO masih berpendirian vape dan e-rokok harus diharamkan. Negara seperti Thailand, Singapura dan Brunei juga mengharamkan vape.
Melengahkan tindakan tegas hanya mengundurkan kejayaan usaha kawalan tembakau sekian lama di Malaysia. Kita harus sedar vape dan e-rokok menjadi batu loncatan untuk menarik perokok baru di kalangan kanak-kanak dan golongan remaja oleh syarikat rokok.
Kini lebih 80% pengeluaran peralatan ini juga dikawal oleh syarikat rokok. Maka amat tidak bertanggungjawab terus menangguhkan tindakan tegas untuk menangani penularan vape dan e-rokok di Malaysia.
Sebagai negara pihak kepada FCTC adalah bertentangan dengan komitmen negara untuk mengawal semua bentuk tabiat merokok untuk melindungi kesihatan seluruh penduduk Malaysia.
Kerajaan baharu Malaysia dan jemaah menteri Malaysia baharu harus mengkaji semula keputusan 2016 dengan mendukung kepentingan kesihatan awam dan komitmen negara kepada FCTC. – 11 Ogos, 2019.
* Muhammad Sha’ani Abdullah ialah pembaca The Malaysian Insight.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen