Malaysia yang marah-marah malas


Izmil Amri

KETIKA diwawancara Dr Aim Sinpeng, ahli akademik di University of Sydney, Australia, tentang kesan dan faktor media sosial terhadap perhimpunan Bersih 4 dua tahun lalu, saya memberitahunya bahawa rakyat Malaysia itu sifatnya si pemarah yang malas.

“Angry but lazy,” saya kata padanya ketika disoal sama ada perhimpunan 34 jam di Dataran Merdeka akan membawa sebarang perubahan atau memberi sebarang tekanan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Saya terlebih dahulu membentangkan kepadanya angka-angka capaian kempen media sosial menuju perhimpunan bersejarah itu. Kalau angka-angka itu boleh dijadikan indikator; nescaya Malaysia ini sudah boleh bertukar kerajaan berkali-kali, lantaran semangat rakyatnya mendesak perubahan.

Namun ternyata masuk lima kali Bersih turun ke jalanraya, rakyat Malaysia masih begitu juga. Yang berhimpun adalah orang yang sama. Yang ditangkap dan dikurung juga orang yang sama. Anak-anak muda tetap tidak peduli, melainkan sangat sedikit sekali.

Tidak peduli

Disebabkan itu saya pertahan pendirian saya kepada Dr Aim. Rakyat Malaysia memang pemarah. Namun marahnya itu malas-malas sifatnya. Kemarahan rakyat Malaysia tidak cukup untuk mengubah pendirian politik orang lain, atau membawa kesan jangka panjang.

Tidak seperti rakyat di negara Dr Aim, iaitu Thailand; rakyat Malaysia tidak cukup lapar. Masih boleh makan sedap, boleh beli telefon pintar secara ansuran, dan boleh beli kereta tanpa wang deposit. Maka demonstrasi di jalan raya hanya setakat jam 5 petang.

Kalau pun hadir Bersih 4 yang berlangsung selama 34 jam, masih sempat pulang ke rumah, mandi tukar baju dan datang semula untuk muatnaik gambar-gambar ke laman sosial. Tidak cukup lapar. Marah-marah malas.

Pembentangan Merdeka Center tentang sikap tidak peduli anak muda terhadap politik Malaysia adalah satu manifestasi sikap ‘marah-marah malas’ ini.

Saya tahu, kerana sebenarnya saya pun tergolong dalam kelompok yang sama. Kelompok yang membesar lewat 90’an dan melihat jatuh bangun politik parti-parti pembangkang pasca Reformasi ‘98 sehinggalah mengecap nikmat kekuasaan selepas tsunami politik 2008.

Selepas tsunami

Hampir sepuluh tahun berlalu, parti-parti tersebut masih bergelar pembangkang walaupun membentuk kerajaan di beberapa negeri. Lebih penting lagi, kesemua parti-parti itu sudah tidak lagi suci. Faktor kesucian ini adalah permainan persepsi, dan memandangkan media massa dipegang telurnya oleh pemerintah, maka parti pemerintahlah yang menang dalam permainan persepsi ini.

Oleh sebab itu, ramai dari kalangan kita yang letih. “Seperti Pepsi dan Coca Cola,” kita kata.

Hampir sepuluh tahun dalam kerajaan, DAP di Pulau Pinang dan PKR di Selangor tidak lagi boleh menyalahkan ‘kerajaan sebelum ini’ apabila rakyat berdepan masalah; meski kita tahu wujudnya anasir-anasir jahat yang tersisa daripada rejim sebelum 2008.

Tidak kurang juga siasatan-siasatan terkait rasuah dan salahguna kuasa di kedua-dua negeri. Media terlebih dahulu menghakimi, dan seperti biasa; yang memberi makan media memenangi permainan persepsi.

Kelantan, tidak perlu lah kita bahas. Orang putih kata ‘gone case’.

Rakam jejak kerajaan ‘pimpinan pembangkang’, meski lebih banyak baik berbanding buruk; adalah tertakluk kepada manipulasi dan persepsi yang terhasil daripada sikap marah-marah malas rakyat Malaysia.

Malang juga bagi parti-parti pembangkang ini, nasib mereka di peti undi juga ditentukan oleh sikap yang sama. Tambah celaka, apabila populasi dengan sikap ini kian bertambah berkadaran dengan masa serta disumbat otaknya dengan hal-hal yang menjauhkan perhatian daripada masalah pokok urustadbir negara.

Lihat sahaja lah nanti ketika perhimpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di depan Amcorp Mall itu selesai hujung minggu depan. Berapa ramai yang marah, dan berapa ramai bermalas-malas di ‘flea market’ seberang jalan sana, setelah singgah di A&W sebelum pulang tidur petang dan menanti bila masanya akan tiba untuk marah-marah lagi.

Sebab ini lah tuan-tuan dan puan-puan, United Malays National Organisation akan terus berkuasa untuk seribu tahun lagi. – October 7, 2017.

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen