DUA penjenayah warga asing yang diburu berhubung kes rompak peti besi ditembak mati selepas berbalas tembak dengan polis Bukit Aman di kawasan perindustrian Ayer Keroh, Melaka, awal pagi ini, kata sumber polis.
Dua lelaki dalam lingkungan umur 30-an itu mati ditembak di tempat kejadian sementara dua suspek melarikan diri ke hutan berhampiran, kata sumber.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi tadi, The Malaysian Insight difahamkan suspek melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis selepas mereka dikepung.
“Hasil risikan dan maklumat awam, dua lelaki itu dikehendaki polis atas lebih lima kes tebuk peti besi di syarikat swasta dan kedai emas.
“Mereka dipercayai terlibat dalam jenayah ‘Ops Tebuk’ dan aktif di beberapa negeri antaranya Terengganu, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Menurut sumber, empat suspek itu dikejar polis selepas dilihat menaiki sebuah kereta jenis Kia Sentra tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di kawasan perindustrian Ayer Keroh.
“Pihak polis telah mengejar dan mengepung kawasan itu selain memberi amaran supaya menyerah diri namun tidak diendahkan sebaliknya mereka melepaskan tembakan ke arah pasukan polis,” katanya.
Polis turut menemui beberapa senjata berbahaya di dalam kereta seperti parang dan senjata tajam lain, kata sumber.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Satu sidang media akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah pada jam 2 petang ini berhubung kes ini,” katanya. – 10 Ogos, 2019.
Komen