22 terbunuh akibat ribut tropika Nate di Amerika Tengah 


Ribut tropika Nate yang membawa taburan hujan yang tinggi kini sedang menuju ke Mexico dan Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 6 Oktober, 2017.

RIBUT tropika Nate menyebabkan 22 orang terbunuh di Amerika Tengah yang membawa taburan hujan lebat memaksa ribuan penduduk meninggalkan kediaman masing-masing, jambatan runtuh serta menyebabkan pokok tumbang, kata pihak berkuasa pada Khamis.

Pengkaji cuaca meramalkan kekuatannya akan bertukar menjadi taufan dan menuju ke Mexico dan Amerika Syarikat. 

Negara yang paling teruk dilanda ribut berkenaan adalah Nicaragua dengan 11 kematian manakala tujuh lagi masih hilang, kata Naib Presiden Rosario Murillo kepada pemberita.

Pihak berkuasa di Costa Rica berkata lapan maut termasuk kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun selepas kediaman mereka dilanda banjir lumpur dan dihempap pokok, dan dua lagi remaja yang bekerja di sebuah ladang. Sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan hilang. 

Costa Rica mengumumkan darurat selepas berdepan dengan banjir lumpur, jalan yang dihanyukan air serta paras sungai yang melimpah. 

Sekolah, universiti, pejabat kerajaan dan bank di seluruh negara Amerika Tengah ditutup. 

Tiga orang lagi dilaporkan terbunuh di Honduras.

Murillo berkata 800 orang telah dipindahkan, hampir 600 kediaman dilanda banjir dan 14 komuniti terperangkap berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu. 

Lebih 5,000 orang ditempatkan di pusat perlindungan di Costa Rica selepas terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing berikutan banjir dan risiko tanah runtuh, kata pengarah Suruhanjaya Kecemasan Negara, Ivan Brenes.

Sekurang-kurangnya 18 jalan raya ditutup dan 12 lagi hanya dibuka separuh. Di barat laut Costa Rica di wilayah Guanacaste yang popular sebagai destnasi pelancong turut dilanda banjir yang mana ia hanya boleh diakses menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan kuda. – AFP, 6 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen