STATUS projek Putra Medical City milik Universiti Putra Malaysia (UPM) antara isu yang dipercayai membawa kepada pemecatan bekas pengerusi lembaga pengarah universiti (LPU) Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, kata beberapa sumber dalaman universiti.
The Malaysian Insight difahamkan Syed Razlan mahu projek berkenaan diteruskan untuk menyelamatkan UPM daripada membayar sekurang-kurangnya RM60 juta kepada Freestyle Development Sdn Bhd sebagai ganti rugi pecah kontrak.
Projek itu jadi pertikaian kerana bekas naib canselor Mohd Fauzi Ramlan menandatangani perjanjian guna tanah UPM di Serdang dengan Freestyle tanpa mandat daripada LPU, kata sumber.
“Beliau dakwa dapat mandat daripada LPU tetapi minit mesyuarat tidak menyatakan demikian.
“Sama ada Fauzi diberi mandat untuk tanda tangan atau tidak, perjanjian dengan Freestyle itu sah. UPM ada pilihan untuk teruskan atau batalkan projek tersebut.
“Kalau bawa ke mahkamah, kemungkinan besar UPM akan kalah dan ganti rugi yang perlu dibayar tidak kurang daripada RM60 juta,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Perjanjian dengan Freestyle ditandatangani pada April 2014 untuk projek melibatkan pembinaan sebuah hospital, hotel dan pusat komersial, dengan segala kos yang dijangka bernilai lebih RM1 bilion ditanggung oleh syarikat berkenaan.
Mengikut perjanjian itu, Freestyle diberikan konsesi menguruskan Putra Medical City dengan menyewa tanah UPM pada kadar 80 sen sekaki persegi setahun bagi tempoh 30 tahun berakhir pada April 2044.

Semakan The Malaysian Insight menunjukkan perjanjian itu masih ada dalam senarai perjanjian UPM yang masih sah setakat 30 Jun lalu.
Sumber memberitahu, selain risiko saman sekurang-kurangnya MR60 juta, UPM juga bakal berhadapan masalah lebih besar sekiranya Freestyle memasukkan kaveat ke atas tanah terlibat, yang termasuk dalam hakmilik induk tanah universiti.
“Tanah 35 hektar itu sebahagian daripada master lot tanah UPM. Padang golf, hospital pelajar yang sudah siap semua akan terlibat. Masalah akan jadi lebih besar,” kata sumber.
Seorang lagi sumber menjelaskan Syed Razlan, yang dilantik sebagai pengerusi LPU pada Oktober 2018, mencadangkan supaya projek Putra Medical City itu diteruskan.
Beliau tidak mahu LPU yang baharu diterajuinya dipersalahkan jadi punca UPM terpaksa membayar pampasan begitu tinggi sekiranya projek itu dibatalkan.
“Syed Razlan telah minta pengurusan UPM berjumpa dengan menteri pendidikan atau menteri kewangan untuk mengarahkan pembatalan tersebut kerana tidak mahu LPU disalahkan, membatalkan projek tersebut,” ujarnya.

Pada September 2018, sebulan sebelum Syed Razlan dilantik pengerusi LPU, Jawatankuasa Tatatertib UPM yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Pendidikan mengambil tindakan disiplin ke atas Fauzi berhubung satu kes lain.
Fauzi kemudian membuat aduan kepada Bahagian Governan IPTA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan LPU kerana mendakwa terdapat salah urus tadbir dan rasuah oleh pengurusan tertinggi UPM.
Bahagian Governan di bawah Jabatan Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan melalui sepucuk surat bertarikh 20 April telah meminta Syed Razlan menyiasat aduan itu.
“Siasatan melibatkan pengurusan tertinggi termasuk Pendaftar dan Penasihat Undang-undang. Sebab itu Syed Razlan telah meminta mereka bercuti supaya siasatan dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan.
“Naib Canselor tidak direhatkan kerana tidak mahu pentadbiran UPM terganggu,” kata sumber.
Tiga persatuan kakitangan dan ahli akademik UPM bagaimanapun menganggap Syed Razlan campur tangan dalam proses apabila mengarahkan dua pegawai kanan itu bercuti.
Syed Razlan mengarahkan pendaftar dan penasihat undang-undang universiti untuk bercuti, tiga hari sebelum Jawatankuasa Rayuan Tatatertib menolak rayuan Fauzi dan mengesahkan hukuman turun pangkat dan gaji ke atasnya.
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik melalui sepucuk surat bertarikh 17 Julai lalu memaklumkan kepada Syed Razlan bahawa tempoh perkhidmatan beliau berakhir minggu depan, hanya 10 bulan selepas dilantik.
Mandat beliau sepatutnya berakhir Oktober 2021.
Syed Razlan akan digantikan oleh bekas naib canselor Universiti Malaya (UM) Ghauth Jasmon berkuat kuasa 19 Ogos ini. – 10 Ogos, 2019.
Komen