SERANGAN udara Rusia menyebabkan 14 orang terbunuh ketika cuba menyeberangi sungai menggunakan rakit di timur Syria berikutan pertempuran terbaharu yang menyebabkan angka kematian orang awam meningkat, kata agensi pemantau pada Jumaat.
Serangan terbaharu itu merupakan rentetan daripada insiden yang sama berlaku dalam minggu ini, menyasarkan kumpulan pelarian yang cuba menyeberangi sungai Euphrates berhampiran pekan yang ditawan militan di Mayadeen, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.
“Mereka menyeberangi sungai menggunakan rakit di perkampungan Mayadeen,” kata pengarah pemantau Rami Abdel Rahman dan menambah tiga kanak-kanak merupakan antara yang terbunuh dalam kejadian terbaharu itu.
Rusia meningkatkan serangan udara dalam usaha menyokong tentera rejim Syria menangani pemberontak di seluruh negara itu.
Abdel Rahman berkata orang awam meninggalkan perkampungan Mahkan di selatan Mayadeen, yang terletak kira-kira 420 kilometer dari timur Damsyik dan ia merupakan salah satu kubu kumpulan IS.
Mayadeen berada di bawah kawalan IS sejak 2014, apabila kumpulan itu menyerang seluruh Iraq dan Syria.
Agensi berita SANA berkata tentera kerajaan kini mara dari kawasan padang pasir di barat laut Mayadeen dan bergerak ke sekitar lima kilometer dari pekan berkenaan.
Di wilayah Deir Ezzor, IS masih mengawal Mayadeen, kawasan timur kejiranan bandar Deri Ezzor di Lembah Euphratesm pekan Albu Kamal yang terletak di hilir sempadan Iraq, dan beberapa pekan kecil yang lain.
Moscow telah melancarkan beberapa serangan udara sebagai sokongan kepada sekutu Damsyik yang menyasarkan IS di wilayah Deir Ezzor dan Al-Qaeda yang merupakan bekas sekutu Syria di wilayah Idlib. – AFP, 6 Oktober, 2017.
Komen