KERJASAMA dengan PAS tidak memadai untuk dua parti terbesar Melayu Islam itu merampas kerajaan negeri, kata Pengerusi Umno Johor Hasni Mohammad.
Hasni berkata, Umno dan PAS memerlukan kelebihan lain untuk menarik sokongan orang Melayu yang bukan dari kalangan parti itu, selain memahami kehendak orang bukan Melayu.
“Penyatuan ummah bukan penyelesaian segala-galanya. Kita perlukan lebih daripada itu. Kita mahu sekurang-kurang 10% pengundi Melayu kembali kepada kita.
“Kita juga hendak semua kaum, tidak boleh elak. Umno perlu letak harapan dan kehendak masyarakat bukan Melayu juga di bawah payung perjuangan Umno,” katanya di Sembrong, Johor.
Hasni juga berkata mereka perlu sedar parti itu hanya menang 18 kerusi sahaja daripada 38 kerusi majoriti Melayu dalam PRU14 tahun lalu.
Pakatan Harapan berjaya merampas negeri itu setelah memenangi 39 kerusi daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan di Johor.
Parti itu tewas semua sembilan kerusi di kawasan majoriti Cina dan hanya menang satu kerusi di kawasan campuran.
Namun dengan gabungan baharu dengan PAS, Umno Johor juga hanya akan dapat menang sembilan lagi kerusia daripada 20 lagi kerusi yang gagal dikuasai, kata Hasni.
“Itu baru 27 kerusi. Kita tidak dapat lagi kerajaan. Kita perlukan 29 kerusi untuk bentuk kerajaan,” katanya lagi dalam ucapan ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian itu.
Umno dan PAS akan memuktamadkan kerjasama antara kedua-dua parti melalui pemeteraian piagam yang akan diadakan pada 14 September.
Piagam yang akan ditandatangani presiden kedua-dua parti itu antara lain menggariskan perjanjian agar calon mereka tidak lagi bertembung dalam pilihan raya umum akan datang. – 9 Ogos, 2019.
Komen