KESATUAN sekerja wartawan Utusan Melayu (M) Bhd percaya para kakitangan kini ditekan secara halus oleh pihak pengurusan syarikat supaya berhenti kerja secara sukarela.
Ia untuk mengelak syarikat membayar sebarang pampasan kepada kakitangan itu, kata Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Cawangan Utusan.
Setiausahanya Muhammad Basir Abu Bakar berkata ia dapat dilihat apabila kakitangan mula menyuarakan hasrat berhenti kerja kerana tidak tahan menanggung beban kewangan.
“Sekiranya kakitangan berhenti sendiri, syarikat tidak perlu membayar sebarang pampasan. Ini adalah satu langkah psikologi oleh syarikat,” katanya.
Jelasnya, kakitangan tersebut tidak sanggup lagi menanggung beban hutang kerana masih tidak dibayar gaji seperti yang dijanjikan syarikat.
Katanya, ada juga kakitangan yang tidak keluar untuk membuat liputan berita seperti diarahkan editor dan terjebak dengan hutang daripada pemberi pinjaman wang lintah darat.
“Kami sudah tidak mampu untuk keluar dari pejabat bagi membuat liputan sebaliknya hanya pergi pejabat setiap hari.
“Ada yang sudah pinjam dengan ‘ah long’, bergadai barang kemas, tidak mampu membeli susu anak dan lain-lain. Kami masih bertahan hanya kerana sayangkan Utusan,” katanya.
Tambahnya, mereka tidak percaya Utusan tidak mampu membayar gaji tertunggak kepada lebih 800 orang kakitangan itu kerana syarikat berkenaan mampu berbelanja untuk tujuan lain.
“Jika kata tidak mampu atau sedang rugi, bagaimana mereka mampu membeli sebuah syarikat lain selain membuat proses baik pulih anak syarikat baru itu dengan kos RM580,000.
“Aset milik syarikat bernilai RM400 juta juga masih belum dijual bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat NUJ, hari ini.
Kakitangan itu juga akan tetap berpiket pada 19 Ogos ini di depan ibu pejabat syarikat bagi mendesak pengurusan pengurusan menunaikan janji untuk membayar gaji mereka, katanya.
“Kami masih belum menerima sebarang bayaran gaji bagi bulan Julai.
“Bagi kakitangan eksekutif pula, gaji mereka tertunggak selama dua bulan apabila hanya menerima RM2,000 untuk gaji Jun dan masih belum menerima apa-apa bayaran gaji untuk Julai.
Selain berpiket, kakitangan itu juga berhak untuk mengheret syarikat Utusan Melayu ke mahkamah atas kegagalan membayar gaji itu kata Setiausaha Agung NUJ Malaysia, Chin Sung Chew.
“Tapi kami masih memberi peluang kepada mereka untuk tunaikan janji,” katanya yang menambah Utusan sudah berulang kali lewat membayar gaji sejak tahun lalu.
Beliau turut merayu orang ramai yang ingin membantu kakitangan itu dengan menyalurkan dana ke akaun Bank CIMB bernombor 8000367100 Bank CIMB atas nama National Union of Journalist.
Pada Disember 2018, seramai lebih kurang 800 kakitangan menerima skim pemisahan sukarela (VSS) ketika syarikat itu berusaha mengurangkan kos operasi.
Namun, bekas kakitangan syarikat itu juga masih belum menerima bayaran ansuran VSS tidak mengikut jadual ditetapkan.
Kumpulan Utusan kini berstatus Pn N17 di Bursa Saham Malaysia selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank.
Syarikat itu menerbitkan Utusan Malaysia dan juga Kosmo. – 9 Ogos, 2019.
Komen