Mereka masih hidup, kata keluarga 2 anggota tentera hilang


Desmond Davidson

Thony Hilo (kiri) abang kepada salah seorang anggota tentera yang hilang di Pulau Perak, Kedah mohon pihak berkuasa melancarkan semula operasi mencari adiknya itu. Dua anggota tentera hilang ketika bertugas 19 Julai lalu. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2019.

KELUARGA dua anggota tentera dari Sarawak yang dilaporkan hilang pada 19 Julai ketika bertugas di Pulau Perak, Kedah, menggesa pasukan angkatan tentera memulakan semula gerakan mencari mereka.

Angkatan tentera pada 26 Julai menghentikan pencarian terhadap dua anggota dari batalion ke-4 rejimen Renjer Diraja – Koperal David Edmund Rapi, 39, dari Dalat dan Lans Koperal Moses Logers, 25, dari Bau, dengan alasan tiada petunjuk baharu.

“Kami percaya mereka masih hidup,” kata abang Logers, Thony Hilo kepada wartawan di lapangan terbang antarabangsa Kuching selepas bertemu dengan Menteri Kerja Raya Baru Bian untuk meminta pertolongan.

“Apa juga yang mereka (angkatan tentera) beritahu kami (masih meneruskan pencarian) hanya tipu.

“Kami mahu pencarian diteruskan dan kami akan berada di sana untuk memantau pencarian itu.”

Baru yang mengarahkan pegawai khasnya berhubung dengan Kementerian Pertahanan bagi menyampaikan permohonan dan masalah dihadapi keluarga itu berkata, mereka akan meminta supaya pencarian lebih luas dilakukan.

Mereka juga mahu angkatan tentera meminta bantuan agensi lain dalam operasi mencari dan menyelamat seperti pakar dari pasukan polis, pertahanan awam dan bomba dan penyelamat.

Baru yang juga ahli Parlimen Selangau dan pengerusi PKR Sarawak berkata walaupun beliau tahu betapa sukarnya operasi tentera, beliau menyeru angkatan tentera supaya “lebih sensitif dan responsif” terhadap keluarga.

“Kami bersama keluarga ini meminta supaya pencarian diteruskan dan diperluaskan, dan ingatlah mereka yang hilang ini adalah anggota tentera, wira yang mempertaruhkan keselamatan diri tanpa teragak-agak untuk memastikan sempadan negara kita selamat.”

Terdahulu, keluarga anggota tentera berkenaan berkata angkatan tentera tidak memaklumkan perkembangan terkini pencarian itu kepada mereka.

Mereka kemudian bertindak pergi sendiri ke pulau berkenaan pada 22 Julai.

Perjalanan mereka ke Pulau Perak menelan belanja RM10,000 untuk kos perjalanan, termasuk menyewa bot laut untuk melihat sendiri bagaimana operasi mencari dijalankan.

“Bila kami tiba di pulau itu, tidak ada sesiapa pun yang mencari,” kata Hilo.

Dua anggota terbabit didapati hilang ketika sesi panggilan nama pada 19 Julai.

Keluarga dimaklumkan kedua-dua anggota itu ada ketika makan malam 7 malam berkenaan. – 9 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen