PELBAGAI agensi promosi pelaburan akan diletakkan di bawah Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI), yang akan dipengerusikan bersama oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), kata Ong Kian Ming.
Timbalan menteri MITI itu berkata langkah itu bagi memastikan keseragaman dalam prinsip yang digunakan oleh agensi promosi pelaburan dalam menguruskan permohonan pelaburan.
Sebelum ini, agensi pelaburan seperti Invest KL, koridor ekonomi wilayah dan Iskandar Malaysia, akan berurusan terus dengan MOF berkaitan permohonan pelaburan masing-masing, katanya.
“Tidak ada cara yang tersusun di mana semua projek itu boleh dibincangkan. Sekarang, apa yang hendak kami lakukan ialah memastikan semua permohonan itu datang di bawah NCI, yang akan dipengerusikan bersama oleh wakil dari MOF dan MITI.”
Bagaimanapun, katanya ini tidak bermakna akan ada penggabungan agensi.
“Tidak semestinya menyatukan semua agensi promosi tetapi menempatkan semua permohonan di bawah satu tempat dapat memastikan prinsip yang sama dan konsisten diguna pakai terhadap semua permohonan pelaburan yang masuk ke negara ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pengumuman berkenaan perkara itu dijangka dibuat bulan depan.
Berkenaan usaha diambil untuk mengurangkan prosedur birokratik dan meningkatkan kelancaran urusan, Ong mengakui soalan dan permintaan masih diterima daripada masyarakat perniagaan meminta kerajaan menyelesaikan kebimbangan mereka.
“Saya tidak nafikan kami masih terima soalan yang banyak dan permohonan menerusi e-mel dan perkara seperti mempercepatkan proses mereka yang tersangkut.”
Sehubungan itu katanya, MITI akan terus bergantung pada Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) sebagai platform untuk meningkatkan mesra perniagaan.
Pasukan itu, kerjasama antara sektor swasta dan awam, memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia mendapat tempat ke-15 daripada 24, dalam ranking Bank Dunia berkenaan kemudahan menjalankan perniagaan. – 9 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen