JUMLAH kes denggi menunjukkan peningkatan lebih 86% kepada 79,151 kes dalam masa enam bulan sejak awal tahun ini, kata Timbalan Menteri Dr Lee Boon Chye.
Katanya, Selangor mencatatkan jumlah tertinggi dengan 45,423 kes diikuti Kuala Lumpur dengan 9,168.
“Sebanyak 113 kematian juga dicatatkan akibat denggi sepanjang tempoh itu” katanya.
Dr Lee berkata, antara punca yang menyebabkan kenaikan kes denggi ketika ini adalah perubahan jenis virus wabak denggi atau serotype yang dikesan sejak tahun lepas.
Ini kerana, ramai yang masih belum imun terhadap serangan dari serotype baharu tersebut, jelasnya.
“Serotype (jenis virus denggi) untuk Malaysia selama ini adalah Type 1 namun berlaku perubahan pada tahun lepas.
“Ketika ini virus utama (serotype) adalah di tahap Type 2, ia menjadi punca utama kenaikan secara dramatik wabak denggi itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Kata Lee setiap sub kategori virus denggi itu mempunyai reaksi berbeza dengan tahap keimunan dalam badan seseorang.
“Biasanya satu serotype atau virus denggi ini akan mendominasi penularan wabak denggi bagi tempoh tertentu.
“Apabila satu populasi itu kebal dengan subvirus tersebut maka akan berlaku penurunan penularan wabak itu sehingga penukaran jenis subvirus baru denggi iaitu Type 2 yang dilihat berlaku kini,” katanya.
Jelasnya, dua lagi kategori serotype yang membawa denggi itu adalah Type 3 dan Type 4.
Tambah timbalan menteri itu lagi, selain perubahan jenis virus denggi, wabak itu juga merebak apabila terdapat banyak pembiakan Aedes di kawasan air bertakung.
“Yang paling senang untuk nyamuk membiak ialah di pasu bunga, tangki air, longkang tersumbat, tayar lama, tin dan botol di taman-taman.
“Lambakan tempat pembinaan kerana kepesatan pembangunan dan banyak rumah tinggal juga memburukkan keadaan,” katanya.
Katanya kaedah pelepasan nyamuk Aedes mengandungi bakteria wolbachia juga menunjukkan berlaku penurunan kes denggi sebanyak 90 %.
“Kita masih memantau maklum balas dari kaedah baru itu. Jika kaedah pengawalan kita berjaya kita akan mampu menangani kes demam denggi secara mendadak dengan cepat,” katanya.
Bagaimanapun Lee mengingatkan Kementerian Kesihatan juga memerlukan kerjasama orang ramai bagi menangani wabak itu.
“Usaha kaedah pengawalan kes denggi ini tidak hanya diletakkan pada Kementerian Kesihatan namun orang ramai juga perlu memainkan peranan bersama,” katanya. – 9 Ogos, 2019.
Komen