Speaker DUN Selangor nafi sekat usul pinda enakmen tukar agama


Diyana Ibrahim

Antara yang hadir pada mesyuarat dwi bulanan Pakatan Harapan Selangor hari ini. – Gambar The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2019.

SIDANG DUN Selangor ditangguhkan lebih awal kerana tidak cukup korum dan bukannya untuk menghalang pindaan enakmen penukaran agama, kata Speaker Ng Suee Lim.

Katanya, tuduhan bahawa beliau menyekat usul pindaan ke atas Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor itu hanyalah khabar angin.

“Tangguh sebab bantah itu tidak benar. Sebenarnya urusan mesyuarat dewan ini saya sebagai speaker hanya mengendalikan perjalanan urusan mesyuarat ini.

“Apabila penyertaan ahli dewan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan berkurangan jadi urusan itu akan berjalan laju,” kata ketika ditemui pemberita di Shah Alam.

Jelasnya, apabila kurang wakil rakyat berbahas, beliau dapat menamatkan sidang lebih awal mengikut Peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor 1965.

Persidangan DUN Selangor hanya berlangsung dua hari pada 29 dan 31 Julai lalu walaupun pada asalnya ditetapkan sehingga 9 Ogos ini.

Ia didakwa ditangguhkan lebih awal untuk menyekat usul pindakan enakmen itu yang tidak mendapat sokongan wakil rakyat bukan Islam dari Pakatan Harapan.

Sikap itu dilaporkan dinyatakan wakil rakyat berkenaan sewaktu ia dibincangkan bersama Menteri Besar Amirudin Shari pada 26 Julai, sebelum ia dijadualkan untuk dibentangkan.

DAP menegaskan bantahan ke atas cadangan itu kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan kebenaran kedua-dua ibu bapa dalam penukaran agama anak.

Wakil rakyat tersebut mahu Amirudin merujuk dahulu pindaan tersebut kepada Peguam Negara Tommy Thomas sebelum dibentangkan.

Selain daripada itu, mereka juga mahu cadangan tersebut diperhalusi semula kerana ia akan memecahbelahkan Pakatan Harapan dan menimbulkan implikasi politik. – 8 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen