UMNO dan PAS Selangor menyokong Amirudin Shari kekal di jawatannya sehingga tamat penggal dan mengelak sebarang usaha untuk menggulingkan menteri besar itu.
Menurut Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Yunus Hairi, mereka tidak mahu Selangor kembali ke kancah krisis politik seperti ketika PKR menyingkirkan menteri besar dari parti itu pada 2014.
Penyingkiran tersebut hanya akan memberi kesan buruk pada rakyat, katanya yang merujuk kepada gerakan politik yang popular dengan nama Langkah Kajang itu.
Ini kerana, pemimpin yang telah diberi mandat untuk mentadbir lebih banyak masa berpolitik daripada memberi khidmat yang sepatutnya, kata beliau.
“PAS dan Umno, kita menyokong menteri besar Selangor kekal sehingga habis tempoh. Kita tidak mahu Langkah Kajang berlaku lagi di negeri Selangor.
“Kita harap tidak berlaku pertukaran kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat. Pilihan raya seperti Langkah Kajang dahulu membazirkan duit rakyat.
“Saya lihat, di pihak Istana Selangor juga tidak berminat dengan isu-isu ini.,” katanya dalam satu sidang media selepas satu mesyuarat antara kedua-dua parti di Bangunan Umno Selangor hari ini.
Langkah Kajang merujuk kepada pilihan raya kecil DUN Kajang yang diadakan untuk membolehkan Anwar Ibrahim, ketua umum PKR waktu itu, menjadi wakil rakyat Selangor.
Ia dirancang untuk menggantikan menteri besar dari PKR waktu itu, Khalid Ibrahim – namun tidak berhasil kerana mahkamah menyabitkan Anwar dengan tuduhan liwat.
Krisis selama sembilan bulan itu hanya berakhir apabila timbalan presiden PKR Azmin Ali dilantik menjadi menteri besar.
Azmin pula, yang kini menjadi menteri hal ehwal ekonomi, bergeser dengan para pemimpin parti ekoran skandal video seks yang didakwa menampilkannya.
Tuduhan tersebut dinafikan oleh Azmin yang menyifatkannya sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya.
Gerakan untuk menukar Amirudin dari jawatan menteri besar itu kini dikaitkan dengan sokongan Adun Sungai Tua tersebut ke atas Azmin.
Amirudin juga kini menghadapi penentangan dalam kalangan Adun bukan Islam di Selangor ke atas satu cadangan kontroversi untuk meminda enakmen negeri.
Cadangan pindaan berhubung penukaran agama anak secara sepihak itu antara lain ditentang secara khusus oleh DAP kerana bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.
Usaha untuk membentangkan pindaan ke atas Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor itu disekat speaker DAP Ng Suee Lim dengan memendekkan tempoh persidangan Dun Selangor. – 8 Ogos, 2019.
Komen