.jpg)
SETELAH Pakatan Harapan menerajui negara lebih setahun, semakin banyak isu yang semakin dibangkitkan tidak kira dari aspek politik, ekonomi, sosial atau budaya.
Dalam konteks Malaysia Baharu yang sering dilaungkan ini, bukan semua “perkara baharu” dapat diterima oleh masyarakat.
Segala keputusan perlu dibincangkan dan dipersetujui sekiranya perkara tersebut bakal membawa kemaslahatan kepada rakyat.
Hal ini penting kerana negara ini tidak berasaskan satu kaum atau agama sahaja. Ia merangkumi persetujuan seluruh rakyat Malaysia dalam mengambil apa sahaja tindakan dan keputusan.
Kita sudah terbiasa memisahkan atau membawa jurang yang besar dalam menggunakan nama kaum, bangsa atau etnik khususnya.
Orang Melayu bersemangat Melayu, orang Cina bersemangat Cina, orang India bersemangat India dan seterusnya.
Hal ini mungkin disebabkan kita sudah terbiasa dengan norma sistem pendidikan yang memang mendidik kita sedemikian.
Isu tulisan Jawi semakin diperdebatkan atau senang kata semakin dipolitikkan.
Hari ini saya menulis bukan kerana saya ingin memperdebatkan sama ada agenda ini perlu diteruskan atau tidak, tetapi saya sentiasa menyokong pembaharuan ke arah yang lebih baik.
Mengenali dan mempelajari sesuatu perkara baharu misalnya bahasa atau tulisan merupakan perkara yang perlu dibanggakan kerana ia tidak sama sekali berkait rapat dengan kaum, agama atau politik kotor yang dibawa oleh politikus untuk menggugat keharmonian masyarakat.
Berbalik kepada tujuan penulisan saya ini, saya terjumpa sebuah buku seorang penyair prolifik tanah air, T Alias Taib yang berjudul “Di Sisi Pelita Minyak Tanah”.
Buku ini memuatkan gabungan penulisan kreatif dan bukan kreatif beliau iaitu esei, cerpen, puisi dan madah.
Sedang saya khusyuk melihat kandungan buku tersebut, saya agak tertarik dengan sebuah tajuk esei, “Pengarang dan Penyubur Tulisan Jawi”.
Esei tersebut sememangnya menarik untuk dibaca. Dalam esei ini, T Alias Taib mengatakan bahawa pengarang yang mempunyai kecenderungan luar biasa mendidik, memperkembangkan ilmu dan tidak jemu-jemu berusaha memajukan tulisan Jawi tidak mudah dicari.
Dalam hal ini, beliau memetik nama Pak Matlob atau nama sebenarnya Mokhtar Bin Talib.
Pak Matlob tidak pernah kekeringan idea untuk menulis. Hal ini dapat dilihat apabila beliau menulis buku “Rahsia Belajar Jawi” dengan menggunakan tulisan Jawi.
Dalam buku ini, Pak Matlob membahagikan kandungan kepada tiga bahagian iaitu “Mengapa Belajar Jawi”, perbezaan ejaan Jawi baru dengan yang lama manakala bahagian ketiga pula menghuraikan kaedah mempelajari ejaan Jawi baru secara berkesan.
Pada masa yang sama Pak Matlob memajukan tulisan Jawi melalui “Program Jawi Arab Amali” di akhbar Utusan Melayu pada sekitar 1993 hingga 1997.
Usaha lain adalah seperti “Pandai Jawi” dalam Saluran Perdana di Radio dan Televisyen Malaysia.
Sebab inilah T Alias Taib menyifatkan Pak Matlob dalam kelompok pengarang yang mampu menulis secara kreatif dan membimbing pembaca memahami tulisan Jawi dengan baik.
Dalam esei ini juga, T Alias Taib menjelaskan bahawa tulisan Jawi “seakan-akan tiada tempat lagi” dalam dunia teknologi ini.
Tetapi Pak Matlob berusaha untuk mengembalikan dan memelihara tulisan ini. Hal ini kerana tulisan rumi dijadikan tulisan rasmi di Malaysia dan tulisan Jawi seakan-akan semakin dijauhi.
Tetapi ia tidak bermakna tulisan Jawi telah dilupakan sepenuhnya dan tidak langsung berfungsi dalam sistem pendidikan kini.
Menurut T Alias Taib, nasib tulisan Jawi seperti “rumput kering di tepi jalan yang dipijak orang setiap hari” yang sepatutnya dipandang tinggi seperti “rumput hijau di padang golf yang dijaga rapi setiap hari” kerana ramai lagi yang tidak tahu menulis dan membaca Jawi.
Sedangkan ramai daripada kita yang tidak sedar bahawa tulisan Jawi memiliki nilai komersial yang tinggi dalam dunia perniagaan.
Misalnya, T Alias Taib menyatakan bahawa Orang Jepun mempelajari tulisan Jawi untuk memperkembangkan perniagaan tekstil mereka.
Masalah kita sebagai rakyat Malaysia, kita suka membangkang. Tanpa menyelidik dan mengkaji terlebih dahulu, kita akan memutuskan bahawa perkara itu tidak wajar diimplimentasikan.
Kita lebih suka mencari keburukan lebih daripada kelebihan. Tiada pun pandangan dalam esei T Alias Taib ini yang menyatakan bahawa tulisan Jawi akan membawa kepada unsur Islamisasi atau membebankan mana-mana individu.
Persoalannya di sini, di manakah para pengarang atau para intelektual yang perlu memperjuangkan dan memperkembangkan tulisan Jawi seperti Pak Matlob?
Seperti yang saya katakan sebentar tadi, mempelajari bahasa atau tulisan baharu tidak ada kena mengena dengan bangsa atau agama.
Bukankah Malaysia Baharu perlu progresif, berwawasan dan membina ketamadunan peradaban? Sudah tiba masanya untuk kita membuka ruang pemikiran kita dengan lebih luas lagi. – 8 Ogos, 2019.
*Jaymani Sevanathan adalah pelatih industri di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen