KEHADIRAN ke ibu pejabat antirasuah hanya untuk membantu siasatan dan bukan untuk disiasat, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Isham Ishak.
Beliau tampil menjelaskan perkara itu hari ini untuk menjaga imej dan kementeriannya berhubug siasatan bagi kes yang difahamkan melibatkan pemberian kontrak berjumlah hampir RM100 juta itu.
“Memang benar saya dipanggil oleh SPRM. Peranan saya bagi membantu siasatan, ada perbezaan antara disiasat dan bantu siasatan,” katanya.
Katanya, beliau antara lain disoal mengenai prosedur operasi dalam jabatan serta langkah untuk mengelakkan rasuah sewaktu hadir untuk siasatan pada Selasa dan Rabu.
“Sebagai ketua pegawai pengawal kementerian, saya perjelaskan isu berkaitan prosedur, perkara yg berlaku, apakah langkah yang sudah ada supaya perkara ini tidak berlaku.
“Saya juga sudah menyerahkan dokumen yang berkaitan siasatan,” katanya kepada pemberita.
Katanya, beliau tampil memberi penjelasan hari ini untuk menjaga imej beliau serta kementeriannya daripada tanggapan buruk.
“Hari ini, saya tampil untuk menjelaskan isu ini bagi mengelak nama buruk kepada diri sendiri, keluarga dan kementerian,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
Isham berkata beliau turut membuat dua laporan polis terhadap blog sabahkini2.com yang didakwa memfitnahnya dengan tuduhan salah guna kuasa, salah laku dan terbabit dalam elemen rasuah.
“Saya sudah membuat dua laporan polis pada Jun dan Julai dan akan membuat satu lagi laporan polis dalam masa terdekat,” katanya.
Menurutnya, laporan portal itu, yang kini turut memuatkan beberapa dokumen sulit adalah tidak berasas dan tidak benar dan boleh mengganggu pentadbiran negara.
“Saya tidak tahu motif mereka dan mereka tidak mempunyai maklumat yang tepat untuk dilaporkan. Kalau bersalah, semestinya saya sudah dihadapkan ke mahkamah hari ini,” katanya.
Siasatan itu dipercayai tertumpu kepada dakwaan salah guna kuasa dalam Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) melibatkan kontrak bernilai hampir RM100 juta.
Isu mengenai kontrak bernilai RM99.7 juta yang dianugerahkan kepada syarikat Geeko Tech Sdn Bhd itu dibangkitkan bekas pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong dalam blognya.
Bekas ahli Parlimen Wangsa Maju itu mahu pihak berkuasa menyiasat kontrak mencurigakan itu kerana mendapat kelulusan dan ditandatangani hanya dalam masa sehari.
Ia ditandatangani pada 4 April, 2018, sebulan sebelum pilihan raya umum.
Lembaga itu disiasat SPRM awal tahun ini berhubung kontrak mempromosi Malaysia di China itu.
The Malaysian Insight difahamkan Tourism Malaysia masih membuat bayaran yang dituntut oleh syarikat berkenaan walaupun kes itu dalam siasatan SPRM.
Pada Januari lalu, bekas pengerusi Tourism Malaysia Siew Ka Wei ditahan reman empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.
Beliau ditahan bersama CEO sebuah syarikat, Elizabeth Ken Tze Ying untuk siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kedudukan untuk mendapatkan suapan.
SPRM juga memanggil ketua setiausaha kementerian pada masa itu, Rashidi Hasbullah untuk diambil keterangan.
Isham dilantik ke jawatannya sekarang pada 17 Februari lalu menggantikan Rashidi yang bersara wajib.
Beliau pernah berkhidmat sebagai ketua setiausaha di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri kira-kira setahun sebelum itu. – 8 Ogos, 2019.
Komen