ANAK Najib Razak, Mohd Nazifuddin dihadapkan dengan saman tuntutan cukai berjumlah RM37.6 juta, lapor Malaysiakini.
Putrajaya juga sedang berusaha untuk mendapatkan cukai pendapatan yang masih belum dibayar oleh bekas perdana menteri itu berjumlah RM1.69 bilion kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi tahun penilaian 2011 hingga 2017.
Menurut writ saman yang dilihat Malaysiakini, saman terhadap ahli perniagaan berusia 36 tahun itu difailkan LHDN bagi pihak kerajaan di Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai lalu.
Nazifuddin didakwa gagal membayar cukai tambahan yang masing-masing berjumlah RM1,541,850.83, RM5,718,486.42, RM5,437,086.08, RM3,775,133.23, RM1,796,494.18, RM2,271,812.79, dan RM12,052,046.26 bagi tahun 2011, 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017.
Kerana gagal berbuat demikian, Nazifuddin dikenakan denda 10 peratus daripada jumlah keseluruhan.
Pejabat LHDN Kuala Lumpur menghantar notis pentaksiran pada 18 Mac lalu kerana didakwa membayar cukai berkenaan dalm tempoh 30 hari selepas menerima surat berkenaan. – 8 Ogos, 2019.
Komen