SAKSI pendakwaan ke 56 iaitu bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah kembali memberi kesaksian pada perbicaraan SRC International Najib Razak yang memasuki hari ke-49 hari ini.
Husni dijangka akan disoal berhubung dakwaan bahawa beliau tidak tahu apa yang berlaku dalam SRC International walaupun hadir pada sekurang-kurangnya empat mesyuarat peringkat tertinggi bersama lembaga pengarah dan pegawai kanan kerajaan.
Beliau juga dijangka akan diperiksa balas berhubung keterangannya pada Selasa apabila beliau mengkritik Najib kerana didakwa tidak menggalakkan soalan berhubung pengurusan SRC International dan 1Malaysia Development Bhd.
Peguam bela Muhammad Shafee Abdullah beberapa kali membantah keterangan Husni dan mempersoalkan kerelevanannya kepada perbicaraan itu.
Peguam bela turut mendapat kebenaran daripada hakim mahkamah tinggi Mohd Nazlan Ghazali untuk penangguhan awal perbicaraan pada Selasa bagi membenarkan peguam bela membuat persediaan untuk pemeriksaan balasnya.
Pada Selasa, Husni memberitahu mahkamah bahawa Najib pada 2013, enggan meluluskan delegasi kerajaan ke Switzerland selepas pihak berkuasa negara itu membekukan wang SRC International sebanyak RM3 bilion dalam bank kerana didakwa ada kaitan dengan pengubahan wang haram.
Najib membantah permohonan Husni untuk mengetuai delegasi yang melibatkan Kementerian Kewangan, Bank Negara dan Kumpulan Wang Diperbadankan (KWAP) untuk mengesahkan perkara itu dengan pihak berkuasa Switzerland, mahkamah diberitahu.
Pada Oktober 2016, pejabat Peguam Negara Switzerland berkata, ia menyiasat transaksi melibatkan SRC International dan mendapati sebanyak AS$800 juta dana daripada pelaburan sumber asli disalah guna. Ia juga mengatakan skim Ponzi menyembunyikan penyalahgunaan dari SRC International dan 1MDB.
Husni berkata, beliau difahamkan pegawai dari Kementerian Kewangan Diperbadankan bahawa RM4 bilion dalam bentuk pinjaman itu adalah untuk pelaburan arang batu di Jawa, Indonesia dan sumber asli di Mongolia, dengan bakinya disimpan dalam bank di Switzerland dan Hong Kong.
Husni berkata, permohonan pegawainya untuk mendapatkan dokumen pelaburan dan SRC International turut ditolak.
Menurutnya, beliau mengarahkan bekas setiausaha bahagian pelaburan Mohd Isa Hussain untuk ke Jawa bagi memastikan kewujudkan pelaburan itu. Husni berkata Isa bagaimanapun tidak pergi.
Menteri kewangan kedua yang telah bersara itu memberitahu mahkamah, Najib bukan hanya tidak pedulikan kebimbangannya, malah beliau turut diketepikan.
Husni, 67 berkata beliau membantah kerjasama antara 1MDB-PetroSaudi International Ltd dan memaklumkan kepada Najib pada 2009 bahawa 1MDB tidak ada kepakaran dalam bidang minyak dan gas.
Najib kemudian didakwa berkata, Najib cuma berkata “Kamu balik. Mulai hari ini, jangan masuk campur urusan 1MDB”.
Husni turut menegaskan terdapat “elemen autokratik” dalam pengurusan SRC International dan membuat aduan bahawa jaminan kerajaan untuk mendapatkan pinjaman pertama sebanyak RM2 bilion sepatutnya dibuat menerusinya atas kapasiti rasminya.
“Kenapa tidak lalui saya? Itu sebabnya saya kata saya ini macam peon apabila keputusan dibuat,” Husni memberitahu mahkamah.
Pertuduhan ke atas Najib adalah berkaitan pinjaman RM4 bilion yag dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.
Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.
Najib diwakili sepasukan peguam yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan.
The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:
3.50pm: Mahkamah bersambung. Sithambaram memberitahu Nazlan saksi terakhir adalah pegawai penyiasat SPRM Rosli.
Sithambaram memohon penangguhan hari ini untuk memberi masa kepada mereka untuk menyusun 600 barang kes dengan pihak pembelaan.
Nazlan menangguhkan mahkamah kepada 10 pagi esok.
3.36pm: Husni dilepaskan. Hakim membenarkan rehat 10 minit.
3.32pm: Husni berkata beliau tidak terlibat kerana Najib memintanya berbuat demikian.
Menurutnya, walaupun beliau tandatangan memorandum, ia tidak bermakna beliau terlibat.
Katanya, 1MDB dan SRC International tidak pernah diperkatakan.
3.29pm: Husni mengatakan ia adalah tanggungjawab bersama semua menteri untuk membahaskan dan mengatasi memorandum.
3.10pm: Pendakwaan memeriksa Husni semula.
Husni berkata, beliau sudah memikirkan untuk meletak jawatan sejak beberapa tahun. Katanya beliau mahu selesaikan masalah hutang (nisbah hutang ke ekuiti yang tinggi) 1MDB.
Beliau mengatakan tidak mahu melakukannya selepas beberapa lama, tetapi telah dipujuk untuk terus kekal.
3.06pm: Shafee: Bolehkah kamu salahkan PM kerana salah laku Nik Faisal?
Husni: Saya tidak boleh kata, tetapi jika kamu mahu saya katakan lebih panjang.
Shafee: Tidak, Tidak jangan, tolong jangan.
Shafee menamatkan pemeriksaan balasnya.
3.05pm: Shafee bertanya Husni adakah beliau tahu Najib tidak pernah dijemput ke mesyuarat lembaga pengarah SRC International.
Husni mengatakan sangat luar biasa untuk mempunyai seorang penasihat emeritus di lembaga pengarah.
3.02pm: Shafee bertanya tentang Nik Faisal. Husni mengatakan beliau tidak tahu mengenai Nik Faisal. Beliau berkata Nik Faisal datang untuk berjumpa dengannya sekali dan tidak berjumpanya lagi selepas itu.
Shafee mencadangkan bahawa Nik Faisal adalah keras kepala.
2.57pm: Dalam mesej kepada individu lain, Husni nafi mengancam untuk “mendedahkan” Najib.
2.36pm: Husni bersetuju Najib tidak menunjukkan permusuhan apabila meminta beliau bertanding untuk kerusi Tambun.
2.34pm: Husni berkata beliau diminta pertahankan kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum 2018.
2.32pm: Shafee bertanya sama ada Husni meletakkan jawatan kerana kecewa, yang mana Husni menjawab secara negatif.
2.31pm: Shafee: Ketika kamu letak jawatan, kamu agak kecewa? Adakah kamu setuju?
Husni: Saya tidak setuju.
Shafee: Kamu bukan sahaja letakkan jawtaan kabinet, tetapi semua jawatan dalam Umno?
Husni: Ya.
2.26pm: Perbicaraan bersambung, Husni kembali mengambil tempat.
12.40pm: Mahkamah berehat untuk makan tengah hari.
12.34pm: Husni berkata beliau cuba bantu untuk dapatkan semula dana SRC International di Switzerland. Menurutnya, beliau menghubungi menteri Switzerland dan minta pertolongan mereka.
12.29pm: Husni berkata walaupun Najib minta beliau untuk tidak campur tangan dalam hal 1MDB dan SRC International, beliau tetap terlibat dan memantaunya.
12.16pm: Husni menggelar Najib pemimpin autokratik. Shafee menghentikannya. Husni kemudian memberitahu Nazlan dan berkata mahu menjelaskan sedikit. Shafee memberitahu Husni ini bukan Parlimen dan beliau perlu jawab soalan.
11.59am: Husni berkata bagi pinjaman RM2 bilion pertama, beliau tidak tahu Najib yang menandatanganinya, kerana beliau yang sepatutnya berbuat demikian sebagai menteri kewangan kedua.
11.43am: Husni berkata beliau berada di luar negara ketika kertas itu dibentangkan, dan menambah beliau hanya memeriksa kertas memorandum yang beliau perlu tandatangan.
SRC International bukan bawah bidang kuasanya, kata Husni kepada mahkamah.

11.39am: Shafee memeriksa kertas kabinet berhubung pinjaman KWAP RM2 bilion.
11.20am: Mahkamah berehat 10 minit.
10.56am: Menurutnya, beliau bangkitkan bantahan kepada PM lebih 20 kali. Beliau berkata ianya sama dengan dibangkitkan pada mesyuaat kabinet.
10.53am: Husni berkata beliau boleh buat bantahan. Namun keadaannya berbeza dalam politik. Katanya beliau boleh bangkitkan bantahan berhubung pinjaman sebanyak RM2 bilion dari KWAP.
Shafee: Tidakkah kamu merasakan pandangan kamu boleh dibawa ke kabinet dan bukan terus kepada PM?
Husni: Jika saya bangkitkan di kabinet, ia akan memberikan persepsi berbeza kepada rakyat. Kamu berikan kuasa penuh kepada PM jadi saya bangkitkan kepada beliau. Mengapa saya perlu cakap dengan mereka?
Shafee bertanya sama ada beliau pernah dengar tentang tanggungjawab kolektif. Husni menjawab: “Kamu tak berada dalam politik, kamu tak tahu apa-apa.”
10.48am: Shafee bertanya sekiranya ada sebarang dokumen berhubung bantahannya secara langsung kepada PM. Husni menjawab “tiada.
10.45am: Husni berkata apabila memorandum dari mesyuarat kabinet sampai kepadanya, ia terlalu banyak dan tiada masa untuk membaca kesemuanya.
Beliau sentiasa meminta memo lebih awal agar beliau dapat memperhalusinya. Namun ia tidak pernah berlaku.
10.17am: Nazlan berkata soalan Shafee berunsur skandal dan memberitahunya tiada lagi soalan seperti itu selepas ini.
Pemeriksaan balas diteruskan dengan Shafee bertanya Husni mengenai peranannya sebagai menteri kewangan.
Husni menjawab, ketika beliau mendapat memo, beliau sentiasa perbetulkan mereka. Sekiranya isu itu melibatan PM, beliau akan bertemunya secara peribadi.
Husni berkata beliau berjumpa PM lebih 20 kali untuk menyatakan perbezaan pendapatnya.
10.14am: Sithambaram berkata Shafee cuba mencemarkan kredibiliti saksi.
Sebelum Sithambaram membuat bantahan, mereka menyentuh mengenai laporan gangguan seksual yang dibuat terhadap Husni.
10.10am: Shafee menuduh saksi mempunyai pendapat tersendiri dan ingin memastikan mengapa dia begitu marah.
10.09am: Shafee memberitahu Nazlan bahawa saksi dilihat seperti marah dan soalan mengenai kehidupan peribadinya adalah untuk kredibiliti saksi.
Terdahulu, V. Sithambaram membantah soalan Shafee dan menyatakan ia tidak relevan dengan pertuduhan.
10.06am: Husni berkata beliau meletakkan semua jawatan pada 2016 “untuk melindungi Najib” dan skandal ini.
9.31am: Bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah mengambil tempat. Pemeriksaan balas bermula. – 8 Ogos, 2019.
Komen