KEDUDUKAN Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor mulai tergugat, kata beberapa sumber dalaman PKR, kesan penyebaran rakaman seks yang dikaitkan dengan timbalan presiden parti Mohamed Azmin Ali.
Beberapa wakil rakyat Umno dan sumber PKR mengesahkan wujud gerakan yang dimulakan oleh kumpulan penyokong Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menukar Amirudin yang juga penyokong kuat Azmin.
Selepas rakaman seks itu tersebar, Amirudin menunjukkan dukungan padu kepada Azmin dan mendakwa kenal dalang yang mahu menghancurkan masa depan politik menteri kabinet itu.
Seorang Adun dari Umno memberitahu The Malaysian Insight, kedua-dua kem penyokong Anwar dan Azmin turut berjumpa dengan Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail bagi mendapatkan sokongan.
Umno bagaimanapun mengambil sikap tidak campur tangan sebaliknya melihat ini hanya pergolakan dalaman PH, kata Adun itu.
“Kedua-dua kem ada bertemu dengan kami (pembangkang) bagi mendapatkan pandangan dan juga sokongan.
“Kita hanya ada 5 kerusi sahaja. Kalau tukar MB pun, kita tetap pembangkang. Jadi kita tidak mahu masuk campur pergolakan dalam PH,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Pakatan Harapan menguasai 50 daripada 56 kerusi di DUN Selangor. Daripada jumlah itu, PKR mempunyai 21 kerusi, DAP 16, Amanah 8 dan Bersatu 5. Umno mempunyai 5 kerusi sementara PAS menang satu kerusi.
Susulan percaturan politik itu juga ada pihak mencadangkan agar Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim dari DAP ditukar bagi memastikan tiada usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Amir, kata sumber.
Sumber membayangkan kepada The Malaysian Insight, kedudukan Amirudin jadi pertikaian selepas beliau membuat kenyataan dalang penyebaran rakaman seks yang dikaitkan dengan Azmin adalah mereka yang melalui “detik hitam” yang sama 20 tahun lalu.
Adun Sungai Tua itu dipercayai merujuk tuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar sehingga membawa kepada gerakan Reformasi dan penubuhan PKR antara 1998 dan 1999.
Susulan kenyataannya itu, Lembaga Disiplin PKR berkata ia akan menghantar surat nasihat kepada Amirudin, serta beberapa pemimpin dan ahli PKR yang lain.
Azmin menafikan tuduhan terlibat dalam skandal seks sebaliknya menyifatkan dakwaan itu fitnah jahat mahu menghancurkan masa depan politiknya.
Dakwaan itu bagaimanapun menyerlahkan perpecahan dalam PKR sehingga membawa kepada pimpinan negeri menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar sebagai presiden parti.

Pindaan enakmen Islam hanya penyebab
Sementara itu, seorang lagi sumber memberitahu, kumpulan yang menentang Amirudin cuba memberi gambaran bahawa menteri besar itu sudah hilang sokongan sehingga cadangan pindaan ke atas Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor tidak jadi dibentang semasa sidang DUN Selangor, baru-baru ini.
Persidangan DUN Selangor yang dipendekkan kepada dua hari telah mencalar imej Amirudin, kata sumber.
Sidang DUN Selangor berlangsung dua hari pada 29 dan 31 Julai lalu walaupun pada asalnya ditetapkan sehingga 9 Ogos ini.The Malaysian Insight bagaimanapun difahamkan tempoh sidang itu dipendekkan kepada dua hari atas permintaan Amirudin sendiri.
Selepas usul pindaan enakmen pentadbiran Islam tidak dibentangkan di DUN Selangor, pembangkang Umno dan PAS mendakwa PH Selangor berpecah dan Amirudin tiada sokongan untuk meluluskan usul tersebut.
“Adakah berlaku pergolakan sesama Yang Berhormat (YB) Kerajaan Negeri Selangor sekarang ini? Bayangkan ada seramai 50 YB kerajaan negeri tetapi masih tidak mampu sepakat membawa usul penting ini,” kata ketua pembangkang Rizam yang juga Adun Sungai Air Tawar.
Sumber yang rapat dengan kerajaan Selangor memberitahu cadangan pindaan enakmen itu tidak ada kena-mengena dengan isu sokongan kepada Amirudin sebagai menteri besar.
“Ini usaha untuk beri persepsi buruk kononnya MB tiada sokongan. Kita ada lebih 30 Adun (yang menyokong Amirudin),” kata seorang sumber yang rapat dengan kerajaan negeri.
Pindaan yang dicadangkan menyentuh tafsiran “ibu bapa” pada peruntukan undang-undang mengenai pertukaran agama kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, sama seperti Seksyen 88A Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 yang mencetuskan polemik beberapa tahun lalu.
Sementara itu, seorang Adun DAP memberitahu The Malaysian Insight usul pindaan enakmen pentadbiran Islam sebenarnya dicadangkan kepada Amirudin untuk dirujuk terlebih dahulu kepada Peguam Negara Tommy Thomas sebelum dibentangkan di DUN Selangor.
“Sebenarnya banyak Adun tak setuju dengan usul (pindaan enakmen) itu. Mereka yang tidak setuju minta MB teliti lagi supaya jelas sebelum usul dibentang,” katanya.
Perkara itu disahkan seorang Adun PKR yang berkata mereka mahu Amirudin mempertimbangkan semula usul tersebut kerana bimbang ia akan menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan berpecah.
“Kita semua minta perkara ini diperhalusi balik. Cadangan pindaan ini akan memecahbelahkan Pakatan dan menimbulkan implikasi politik,” kata Adun PKR itu.
Kebimbangan Adun PH itu disuarakan kepada Amirudin dalam pertemuan mereka pada petang 26 Julai lalu, kata sumber.
Amirudin juga mengadakan satu lagi pertemuan dengan Adun PKR pada 1 Ogos lalu. – 7 Ogos, 2019.
Komen