Tentera diketuai Arab Saudi bertanggungjawab bunuh 683 kanak-kanak Yaman


Krisis kemanusiaan Yaman dianggap terburuk berlaku di dunia kini menurut PBB, hampir tujuh juta rakyatnya berdepan kebuluran dan wabak taun selepas perang saudara antara kerajaan yang disokong Arab Saudi dan pemberontak Huthi disokong Iran. – Gambar EPA, 6 Oktober, 2017.

PAKATAN tentera pimpinan Arab Saudi di Yaman pada Khamis diletakkan dalam senarai hitam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana membunuh dan mencederakan kanak-kanak seterusnya mencetuskan gesaan terbaru kumpulan hak asasi untuk menambah tekanan kepada Riyadh berkaitan konflik itu.

Pakatan itu sebelum ini pernah dimasukkan ke dalam senarai memalukan tahunan buat seketika tahun lepas sebelum ugutan Arab Saudi untuk memotong dana kepada program PBB menyebabkan ia dikeluarkan daripada senarai.

Mengumumkan tindakan itu, Setiausaha Agung Antonio Guterres mengatakan pakatan itu telah berusaha untuk meningkatkan perlindungan kepada kanak-kanak.

“Di Yaman, tindakan pakatan untuk mengembalikan legitimasi di Yaman secara objektifnya menyebabkan parti itu disenaraikan kerana membunuh dan mencederakan kanak-kanak,” kata laporan yang dikeluarkan bersama-sama senarai itu.

Pada 2016, pakatan itu bertanggungjawab kepada kematian 683 kanak-kanak dalam 38 serangan yang ditujukan kepada hospital dan sekolah.

Tentera kerajaan Yaman, militia pro kerajaan, pemberontak Huthi dan Al-Qaeda di Semenanjung Arab juga dimasukkan dalam senarai itu.

Gutrres bercakap kepada Sultan Salman dari Arab Saudi sebelum senarai itu dikeluarkan, dan menurut PBB senarai itu sudah dimaklumkan kepada Riyadh beberapa bulan sebelum ini bagi mengelakkan pertembungan pandangan seperti mana yang berlaku tahun lepas ketika pentadbiran Ban Ki-moon.

Ban mengeluarkan pakatan itu daripada senarai dan secara terbuka merungut tentang tidak boleh diterima sebuah negara “mengenakan tekanan” kepada PBB untuk mengelak siasatan.

Arab Saudi menafikan ia menekan Ban dan sejak itu menegaskan yang pakatan itu menghormati tanggungjawabnya terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Duta Arab Saudi, Abdallah al-Mouallimi dijadualkan mengadakan sidang media di PBB pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan, Guterres menekankan yang senarai hitam itu “bukan hanya untuk tingkatkan kesedaran” tetapi juga “menggalakkan usaha untuk menghapuskan tragedi yang berlaku kepada kanak-kanak dalam konflik.”

Ketua PBB itu berkata beliau mengalakkan kerajaan tertentu berusaha mengambil langkah melindungi kanak-kanak daripada kekejaman konflik dan menyuarakan harapan yang “lebih banyak akan mengikutinya.”

Laporan dan senarai itu di hantar kepada Majlis Keselamatan pada Khamis yang mengandungi senarai negara seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis yang menyokong pakatan itu dalam perangnya menentang pemberontak Huthi yang disokong Iran.

Laporan itu menyebut pakatan itu bertanggungjawab ke atas kematian 683 daripada 1,340 kanak-kanak tahun lepas di Taman dan 73% daripada 52 serangan yang dilakukan ke atas sekolah dan hospital.

Majlis Keselamatan akan memperdebatkan laporan itu pada 31 Oktober.

Pakatan tentera diketuai Arab Saudi masuk campur dalam urusan Yaman pada 2015 untuk menyokong kerajaan pimpinan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi selepas pemberontak Huthi memaksa presiden itu hidup dalam buangan.

PBB menyenaraikan Yaman sebagai krisis kemanusiaan utama dunia, tujuh juta rakyat Yaman berdepan kebuluran dan wabak taun dan 2,000 orang sudah terkorban. – AFP, 6 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen