Tiga ditahan kes gaduh, serang polis di Kuala Selangor


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kesemua suspek berkenaan yang disyaki pencetus pergaduhan itu ditahan di dua lokasi berasingan dan polis masih memburu dua lagi individu. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2019.

TIGA lelaki yang disyaki dalang utama kes pergaduhan di sebuah kuil pada Ahad lalu sudahpun ditahan, kata Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Md Asri A Wahab.

Menurutnya, semua suspek berkenaan yang disyaki pencetus pergaduhan itu ditahan di dua lokasi berasingan dan polis masih memburu dua lagi individu.

“Suspek pertama ditahan di hadapan sebuah rumah di Nilai, manakala dua lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Bestari Jaya.

“Kami juga sedang memburu dua lagi suspek utama dalam kes ini. Sehingga ke hari ini, seramai 31 orang sudah ditahan berhubung kes ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pergaduhan di antara dua kumpulan di Kuil Kaliamma, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada Ahad lalu antara lain mengakibatkan seorang anggota polis cedera di tangan dan menerima enam jahitan.

Seorang lagi mangsa yang terbabit dengan pergaduhan itu juga putus sebahagian tapak tangan kiri dan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Sementara itu, menurut sumber, kejadian itu berpunca dari dendam antara dua kongsi gelap – geng 08 dan 21.

Pergaduhan tercetus apabila dua kumpulan itu masing-masing tidak berpuas hati dengan khemah yang didirikan ketika perarakan kuil berlangsung.

“Ahli geng 08 tidak berpuas hati dengan geng 21 yang mendirikan khemah berdekatan khemah mereka,” kata sumber.

Susulan itu, dua suspek dari geng 08 menyerang khemah kumpulan lain sebelum kumpulan berkenaan bergadung dengan menggunakan parang.

“Selain mengakibatkan kecederaan kepada dua orang, sebuah kereta pasukan polis turut dirosakkan kumpulan itu ketika pergaduhan,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor,  Fadzil Ahmat semalam berkata pihak polis yang bertugas ketika itu cuba mententeramkan keadaan dan membuat tangkapan, namun turut diserang.

Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh dengan senjata dan Seksyen 326 kanun sama bagi jenayah menyebabkan kecederaan parah. – 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen