Majoriti ahli Parlimen sudah isytihar harta, kata SPRM


Kalidevi Mogan Kumarappa

Majoriti ahli Parlimen sudah mengisytiharkan harta mereka, kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Ogos, 2019.

MAJORITI ahli Parlimen sudah mengisytiharkan harta manakala segelintir belum berbuat demikian kerana masalah komunikasi, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya.

Kata Latheefa, pihaknya sedang menyusun maklumat yang diisytiharkan itu sebelum dipaparkan kepada umum.

“Kami kini sedang menyusun butir-butir lain yang berkaitan dengan keperluan pengisytiharan aset sebelum dipaparkan kepada orang ramai.

“Setakat Parlimen, saya fikir kita mendapat kerjasama yang baik dari segi perisytiharan harta,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

Latheefa ditanya mengenai status beberapa ahli Parlimen, termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah yang belum mengisytiharkan harta selepas Parlimen baru-baru ini meluluskan usul mewajibkan mereka berbuat demikian.

Dalam pada itu, Latheefa memberi jaminan bahawa tidak semua maklumat yang didedahkan oleh ahli Parlimen akan dikongsi kepada umum, demi melindungi privasi mereka.

Menjelaskan kegagalan ahli Parlimen mengisytiharkan harta mereka, Latheefa berkata mereka yang belum berbuat demikian antaranya kerana menggunakan borang yang salah.

“Ada yang tersilap menggunakan sistem HRMIS (iaitu sistem pengurusan maklumat sumber manusia), yang biasa digunakan oleh kakitangan kerajaan. Sebenarnya ahli parlimen mempunyai borang khas untuk berbuat demikian,” katanya.

Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu meluluskan usul khas mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta. Usul sama diluluskan di Dewan Negara pada 22 Julai.

Usul itu akan berkuat kuasa pada Oktober ini.

Di bawah usul itu, ahli Parlimen akan mengiystiharkan harta mereka termasuk milik isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam satu akuan berkanun kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Akuan berkanun itu disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM.

SPRM pula akan memaparkan nama mereka yang mengisytiharkan harta di portal agensi itu selama tiga bulan dari tarikh akaun berkanun berkenaan diterima. – 6 Ogos, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen