SEJUMLAH RM606.51 juta dimasukkan ke akaun semasa Najib Razak bermula dari Julai 2013 hingga Mac 2015, menurut hujah pendakwa semasa sesi pemeriksaan balas ke atas seorang saksi hari ini.
Sambil merujuk dokumen bank, Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram meminta bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu mengesahkan bahawa daripada jumlah tersebut sebanyak RM212.37 juta yang terdiri daripada wang asing diterima, termasuk RM162.44 juta yang dikatakan derma dari keluarga diraja Arab Saudi.
Yu bersetuju dengan Sithambaram bahawa jika tidak termasuk wang yang Najib dakwa adalah derma dan hadiah dalam bentuk pelbagai mata wang asing, akaun bekas perdana menteri itu masih menunjukkan terdapat RM395 juta dalam akaunnya.
Najib menutup ketiga-tiga akaun semasanya yang berakhir dengan nombor “880”, “906” dan “898” pada 9 Mac 2015.
Akaun-akaun tersebut menjadi tumpuan dalam perbicaraan SRC International melibatkan Najib. Beliau dihadapkan dengan beberapa pertuduhan jenayah termasuk pengubahan wang haram kerana menerima RM42 juta.
Sithambaram berkata dokumen menunjukkan RM109.34 juta dimasukkan ke akaun “890” dari 2013 hingga 2015.
Manakala RM205.2 juta dan RM292.37 juta masing-masing dimasukkan ke akaun “906” dan “808” dalam tempoh sama. – 6 Ogos, 2019.
Komen