ISU tentang siapa akan jadi bakal perdana menteri dan perebutan kuasa yang berterusan nampaknya membayangi agenda reformasi negara, kata Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot).
Presidennya Mohamed Arshad Raji berkata sejak akhir-akhir ini banyak desakan daripada sesetengah pihak untuk menetapkan jangka waktu untuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyerahkan kerajaan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.
“Ada juga yang lain menyuarakan sokongan untuk Dr Mahathir menghabiskan penggal lima tahun sebagai perdana menteri,” kata Arshad dalam satu kenyataan hari ini.
“Patriot kesal perkara ini berlaku. Ia bukan saja tidak perlu dan gangguan yang merosakkan tetapi juga pengkhianatan kepada harapan dan aspirasi rakyat.
“Dalam mereka mengejar kedudukan dan kuasa, ahli politik tertentu sanggup melakukan politik kotor.
“Ini sangat tidak beretika. Mereka ahli politik yang sama teruk dengan kleptokrasi BN.”
Arshad berkata majoriti rakyat Malaysia yang mengundi dan menyokong Pakatan Harapan (PH) di bawah kepimpinan Dr Mahathir mahu perubahan untuk mengembalikan negara ke landasan betul.
Sehubungan itu, katanya Patriot mahu ahli politik yang terbabit dalam perebutan kuasa untuk menghentikannya demi menghormati kepercayaan dan sokongan rakyat.
Katanya, ahli politik berkenaan sepatutnya fokus kepada portfolio dan tanggungjawab masing-masing untuk memenuhi janji untuk perubahan seperti diharapkan rakyat.
Arshad berkata isu perebutan kuasa itu bukan datang daripada Dr Mahathir kerana beliau berulang kali berkata akan menyerahkan jawatan itu bila tiba masa yang sesuai.
“Majlis Presiden PH juga sudah memutuskan berkenaan pengganti jawatan itu, dan akan menghormati keputusan itu,” katanya. – 6 Ogos, 2019.
Komen