13 terkorban serangan pengebom di Pakistan


Walaupun keganasan di Pakistan berkurangan beberapa tahun kebelakangan ini, hari ini ia sekali lagi digemparkan dengan serangan pengebom nekad di luar kuil Sufi yang mengorbankan 13 nyawa. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2017.

SERAMAI 13 orang terkorban dan sekurang-kurangnya 20 cedera di selatan barat daya Pakistan apabila seorang pengebom nekad membunuh diri di luar kuil Sufi.

Insiden itu berlaku di daerah Jhal Magsi di wilayah Balochistan yang kaya dengan sumber minyak dan gas, sempadan dengan Iran dan Afghanistan.

“Seorang pengebom bunuh diri dengan meletupkan dirinya selepas ditangkap oleh pengawal polis yang bertugas di luar kuil, membunuh 13 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 20 orang lain,” kata pegawai kanan pentadbiran tempatan Asad Kakar kepada AFP.

Serangan bom di kuil yang sama membunuh 35 orang pada tahun 2005.

“Pengebom bunuh diri itu meletupkan dirinya di luar kuil sewaktu ia dipenuh orang ramai yang menghadiri perayaan ulang tahun Syed Cheesal Shah,” kata Kakar

Penganut Sunni dan Shiite melawat tempat suci itu setiap hari, dengan kehadiran yang tinggi semasa perayaan berlangsung.

Pegawai polis kanan tempatan Muhammad Iqbal mengesahkan kejadian dan kematian itu.

Jurucakap kerajaan Balochistan Anwaar-ul-Haq Kakar berkata: “Kami telah mengesahkan laporan ia adalah serangan bunuh diri.” –AFP, 5 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen