PELAJAR sekolah menjadi sasaran sindiket pengedaran dadah yang mengumpan remaja ini peluang meraih wang melalui jalan singkat.
Namun selepas terjebak, remaja ini mendapati bukan sahaja sukar malah hampir mustahil untuk mereka keluar dari cengkaman sindiket pengedaran tersebut.
Perkara ini diakui Z, seorang remaja yang nama sebenarnya dirahsiakan dalam laporan ini untuk melindungi identitinya.
Remaja berusia 17 tahun kelahiran Seberang Perai Utara, Pulau Pinang ini berkata beliau mula terjebak dengan kegiatan pengedaran dadah selepas dibuang sekolah.
“Ketika sedang mencari kerja, saya didatangi seorang lelaki dari kawasan Bagan Dalam yang tawarkan gaji RM150 sehari dan kerjanya cukup mudah, hanya tukar beg seperti diarahkan bos.
“Saya syok dengan kerja itu kerana mudah mendapat duit tetapi lama-kelamaan saya jadi takut kerana ada kalanya barang yang ditukar tangan itu dalam jumlah yang cukup besar.
“Kadang-kala ia mencecah 10 ke 15 kilogram setiap transaksi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas Z, barang yang bertukar tangan itu biasanya melibatkan dadah syabu yang digelar “batu” dan juga ganja.
“Selepas beberapa bulan, saya menyatakan rasa bimbang dan takut kepada ahli sindiket selain menyatakan niat untuk berhenti edar dadah.
“Tetapi permintaan saya tidak dilayan sebaliknya diugut bunuh dan ahli keluarga saya turut diancam.
“Akibatnya, saya terpaksa teruskan kerja ini,” katanya yang kini meminta untuk menjual dadah secara runcit dan tidak lagi melakukan pertukaran melibatkan jumlah pukal.
Ketika ditanya, beliau berkata pelajar direkrut oleh pembekal yang dipanggil “tokan” untuk mengedar di kawasan sekolah kerana remaja ini lebih jujur.
“Lagipun mereka jual kepada budak sekolah yang sudah pasti ada duit belanja, jadi bekalan ‘batu’ sentiasa terjual,” katanya.
Tambahnya, remaja sekolah ini juga beruntung kerana hubungan dengan sindiket ini memberi perlindungan kepada mereka daripada dibuli di sekolah, kata Z. – 7 Ogos, 2019.
Komen