KEGIATAN masyarakat di akar umbi di Johor masih digerakkan oleh Umno walaupun sudah lebih setahun Pakatan Harapan (PH) merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN), kata pemimpin masyarakat.
Rakyat di akar umbi belum lagi merasakan kehadiran PH sebagai kerajaan, kata mereka, sebaliknya terus selesa berurusan dengan Umno terutama dalam hal kebajikan dan kemasyarakatan.
“Aktiviti kemasyarakatan di kampung kita tak gunakan politik tapi atas nama kebajikan, yang menggerakkan urusan ini semua masih orang lama, muka-muka orang Umno dan BN,” kata seorang ahli Umno yang hanya mahu dikenali sebagai Roha, dari Taman Seri Kluang, di Kluang.
Roha, 42, berkata, walaupun PH berjaya menubuhkan kerajaan di Johor, gabungan empat parti komponen – Bersatu, Amanah, DAP, dan PKR – tidak mempunyai kekuatan akar umbi.
“Parti kerajaan mana ada orang, mana ada ahli sangat, orang kita (Umno) jugalah yang menggerakkan masyarakat kalau ada aktiviti.
“Yang saya tahu, memang orang Umno juga yang buat, dari dulu (masih kerajaan) memang muka orang yang sama (sampai sekarang), orang PH kuranglah,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau memberikan contoh program Komuniti Sihat Pembina Negara dan program Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang sehingga ini, selepas setahun tiga bulan, masih dimeriahkan oleh orang Umno.
“Orang Umno juga yang tolong meriahkan, kalau tidak program tidak ada orang datang,” katanya.
Seorang ketua cawangan Umno dari Ayer Hitam, yang hanya mahu dikenali Pak Uda, berkata, sejak PH memerintah Johor, tanpa ahli-ahli Umno, aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan di kawasannya tidak akan berjalan.
Menurutnya, sambutan Aidilfitri di kampungnya baru-baru ini, tiada sumbangan disalurkan kerajaan PH kepada golongan memerlukan, sebaliknya bantuan hanya diberikan oleh Umno.
“Selalunya, setiap kali nak sambut raya, kerajaan akan beri bantuan kepada orang susah, tapi tahun ini tak dengar kerajaan ada beri bantuan. Orang Umno yang pergi bantu asnaf.
“Kita nak bantu macam dulu dah tak mampu, kita bukan kerajaan lagi, jadi bantuan yang diberikan sedikit terhadlah,” katanya, yang turut memegang jawatan dalam pentadbiran surau kampungnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Bahagian Kluang Md Norhalim Md Amin memberitahu The Malaysian Insight, terdapat juga ahli-ahli Umno yang dilantik untuk mengisi jawatan pentadbiran peringkat bawahan memandangkan tiada calon berkelayakan daripada PH.
Md Norhalim berkata, tugas itu digalas bukan atas dasar politik sebaliknya demi kepentingan masyarakat untuk memastikan urusan pentadbiran lancar tanpa sebarang gangguan.
“Ada pelantikan jawatan tertentu masih dikekalkan orang terdahulu, dalam kerajaan lama dan kebanyakannya memang kita dah lama mentadbir, kita ada mereka yang berpengalaman dalam pentadbiran surau dan masjid.
“Mereka orang yang sokong kita dan mengenang budi, banyak kita salur bantuan, walaupun kalah kita tak tinggalkan.
“Kita kalah dari segi pentadbiran, tapi hubungan kemanusiaan, kemasyarakatan masih kuat dan hubungan itu akan kita kekalkan dan teruskan sampai bila-bila,” katanya, kepada The Malaysian Insight.
PH juga katanya kekurangan individu berbakat untuk menggerakkan masyarakat menyebabkan ahli-ahli Umno terpaksa “membantu” proses pentadbiran komuniti.
“Kita pembangkang tapi masih buat kerja kebajikan, untuk lantik ahli jawatankuasa dalam JKKK pun mereka tidak ada orang, di Kluang contohnya mereka tidak ada pendukung.
“Kita tiada masalah dari segi komuniti, sebab itu hari ini ada orang kita yang mereka kekalkan, hanya ada perubahan sedikit.
“Yang penting masyarakat setempat seperti di kampung atau taman dapat manfaat daripada kerajaan baru, lagipun kita memang sudah mahir dari segi pentadbiran, kita terima pelantikan itu bukan untuk parti tapi demi masyarakat,” katanya lagi.
PH menang 39 daripada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri Johor. Daripada 39 kerusi itu, 14 dimenangi DAP, 11 Bersatu, 9 Amanah dan 5 PKR. Umno pula menang 14 kerusi sementara MIC 2 dan PAS 1.
Kerajaan PH di Johor diterajui oleh Bersatu dengan Adun Bukit Kepoing Sahruddin Jamal dilantik sebagai menteri besar. Beliau adalah menteri besar kedua, menggantikan Osman Sapian yang letak jawatan awal April lalu.
Dalam pada itu, pemimpin Bersatu Johor mengakui PH masih belum betul-betul menyerap ke akar umbi memandangkan Umno sudah jadi “budaya masyarakat” kerana parti itu memerintah selama enam dekad.
Setiausaha Bersatu Johor Mohd Solihan Badri mengakui pihaknya perlukan masa untuk bersaing dengan Umno di peringkat bawahan.
“Itu sudah menjadi budaya, sudah 60 tahun (Umno memerintah), sukar nak tukar segala-galanya dalam masa setahun lebih ini, tapi kita ada platform kita,” katanya, kepada The Malaysian Insight.
“Ini proses pembelajaran, kita dalam proses membentuk semangat dan kepimpinan, dan ia tidak mudah,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu Iskandar Puteri Mohd Fahim Mohd Farid menegaskan Bersatu tiada masalah untuk mentadbir Johor dan memahami isu serta masalah penduduk di kampung.
“Kita yakin semua pemimpin di peringkat akar umbi termasuk ahli majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat memainkan peranan dan sentiasa cakna isu dan masalah rakyat untuk diangkat,” katanya.
Malah, exco Pemuda Bersatu berkata, parti itu juga menerima penyertaan orang Melayu yang semakin ramai di Johor.
“Trend kemasukan orang Melayu di Johor menyokong dan sertai Bersatu semakin meningkat selepas saranan daripada Dr Mahathir Mohamad, untuk memastikan kuasa politik orang Melayu kuat,” tambahnya.
Bersatu mempunyai 26 bahagian di Johor dan dianggarkan mempunyai kira-kira 400 cawangan berdaftar. – 7 Ogos, 2019.
Komen