JEREBU tahun ini diramal tidak seburuk sebelum ini kerana fenomena El Nino yang menyebabkan cuaca kering di Kalimantan dan Sumatra adalah lemah, kata Pakar Jerebu Fredolin Tangang.
Bagaimanapun, pengerusi Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata keseriusan fenomena jerebu rentas sempadan itu juga akan bergantung kepada kejayaan Indonesia memadamkan kebakaran tanah gambut di Kalimantan dan Sumatra.
Pada 31 Julai lalu, penyelaras Kementerian Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia mengumumkan lima wilayah di negara itu sudah mengisytiharkan darurat tanah dan hutan berdasarkan skala sederhana dan tinggi risiko kebakaran.
Lima wilayah itu adalah Riau (Sumatra), Sumatra Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.
“Tetapi, berdasarkan kemarau di Kalimantan dan Sumatra Selatan, ia tidak seburuk 2015,” kata Tangang kepada The Malaysian Insight.
“Seperti yang saya kata, sama ada kita ada jerebu berpanjangan atau tidak bergantung kepada tindakan diambil Indonesia.”
Menunjukkan carta ramalam Asia Tenggara untuk bulan Ogos, beliau menunjukkan Kalimantan diramal “sangat kering pada bulan ini”.
Satu-satunya risiko bahaya yang wujud, tambahnya lagi, adalah sekiranya kebakaran sudah menular ke tanah gambut dan menyebabkan usaha memadam kebakaran bertambah sukar.
Tangang berkata kebakaran tanah gambut hanya dapat dipadam oleh hujan sangat lebat, “tetapi hujan sebegitu tidak akan berlaku pada musim kemarau”.
“Biasanya pada masa sekarang, hujan turun sangat rendah. Dengan El Nino, ia lebih rendah atau tiada hujan langsung.”
Tangang berkata kesan El Nino ke atas cuaca lemah kerana pergerakan haba laut tahun ini berlaku jauh di tengah Lautan Pasifik.
“Tidak seperti pada 1997-1998 atau 2015-2016 apabila pemanasan berlaku di tengah barat Pasifik.”
Jelasnya lagi, menurut pusat ramalan kaji cuaca AS, El Nino “akan tamat dalam tempoh beberapa bulan lagi.”
Jerebu pada 2015 juga dikenali sebagai Jerebu Asia Tenggara kerana hampir semua negara Asean terjejas disebabkan jerebu berpunca dari Indonesia yang merebak sehingga ke Kemboja dan Filipina.
Jerebu yang berlaku sejak beberapa hari lepas menyebabkan beberapa kawasan di Malaysia disenaraikan mencapai tahap kualiti udara tidak sihat. – 5 Ogos, 2019.
Komen