Malaysia harap untuk sambung rundingan perdagangan bebas dengan EU


Ragananthini Vethasalam

Kelapa sawit adalah isu besar perdagangan Malaysia dan Kesatuan Eropah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2019.

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) akan mendapatkan mandat Kabinet untuk menyambung semula rundingan perdagangan bebas (FTA) Malaysia -Kesatuan Eropah yang tertunda menjelang hujung tahun ini, kata Timbalan Menteri Ong Kian Ming.

“Miti akan berusaha mendapatkan mandat daripada Kabinet sama ada kita boleh menyambung semula rundingan perdagangan (FTA EU-Malaysia),” katanya kepada The Malaysia Insight dalam satu wawancara eksklusif baru-baru ini.

Penyambungan semula rundingan itu boleh menjadi alat berguna untuk Malaysia menangani beberapa isu, termasuklah eksport minyak sawit yang menjadi punca ketegangan hubungan dengan blok negara Eropah itu, katanya.

Rundingan FTA EU-Malaysia bermula pada 2010 tetapi ditangguhkan selepas tujuh kali berjalan pada 2012 atas permintaan Malaysia.

Semakan semula dibuat pada 2016 dan 2017 untuk menilai kemungkinan menyambung semula rundingan itu.

Bagaimanapun, ia kembali tertunda selepas perubahan kerajaan pada Mei lalu.

Dilaporkan pada April yang rundingan itu digantung selepas ketegangan tentang isu minyak kelapa sawit.

Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia selepas Indonesia.

“Bagi pihak Malaysia, minyak sawit adalah produk penting tetapi kita mahu memastikan yang ia dilakukan dengan cara lebih holistik kerana minyak sawit adalah salah satu barangan eksport yang kita ada dalam ekonomi Malaysia,” katanya.

Minyak sawit masih digunakan sebagai salah satu bahan penting dalam produk pengguna seperti makanan dan kebersihan diri.

“Walaupun wujud beberapa kemelut sama ada minyak sawit akan diklasifikasikan sebagai komoditi risiko tinggi alam sekitar dan jika benar ada kemungkinan jumlah minyak sawit yang boleh digunakan dalam biodiesel akan berkurangan dari semasa ke semasa.

“Setakat ini, tiada apa yang dikuatkuasakan lagi,” katanya merujuk kepada tarikh tamat 2030 ditetapkan EU untuk menghapuskan minyak sawit dalam biodiesel. – 6 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen