Pelarian Rohingya akan dipindahkan ke kem pelarian mega


Keadaan di salah satu kem pelarian Rohingya di Tangkhali, Ukhiya, Bangladesh. Kerajaan Bangladesh mengambil inisiatif untuk membuka kawasan yang lebih besar bagi menempatkan pelarian yang semakin ramai. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2017.

BANGLADESH pada Khamis mengumumkan akan membina sebuah kem pelarian paling besar di dunia untuk menempatkan lebih 800,000 pelarian Rohingya yang mencari suaka berikutan kekejaman di Myanmar. 

Ketibaan lebih setengah juta pelarian Rohingya dari negara Myanmar sejak 25 Ogos lepas menyebabkan kesesakan di kem pelarian di Bangladesh mencetuskan kebimbangan penularan wabak penyakit. 

Menteri Bangladesh memberi butiran mengenai kem pelarian terbesar itu kerana Myanmar menyalahkan militan Rohingya membakar rumah di negeri bergolak Rakhine yang menyebabkan etnik Rohingya melarikan diri merentasi sempadan. 

Pihak berkuasa Bangladesh merancang untuk memperluaskan kem pelarian di Kutupalong berhampiran bandar sempadan Cox Bazar sebagai kemudahan kepada pelarian Rohingya.

Dua ribu ekar tanah bersebelahan kem pelarian Kutupalong yang dibina dikosongkan bulan lalu untuk menempatkan pelarian Rohingya yang baru tiba. Namun jumlah pelarian baru itu kini mencecah 500,000 dengan tambahan 300,000 yang sedia ada di Bangladesh - 1,000 ekar lagi dikosongkan untuk pembinaan kem baru. 

Menteri Pengurusan Bencana dan Bantuan Mofazzal Hossain Chowdhury Maya berkata semua pelarian Rohingya akan dipindahkan dari 23 kem di sepanjang sempadan dan kem sementara lain di Cox Bazar ke zon baru. 

“Semua pelarian yang kini tinggal bertaburan akan dibawa ke satu tempat. Itu sebabnya lebih banyak tanah diperlukan. Mereka akan datang beransur-ansur,” katanya kepada AFP, dan menambah sudah ada sebahagian keluarga pelarian yang berpindah ke kawasan baru yang dinamakan Kutupalong Extension. 

Menteri itu berkata, dua penempatan sebelum in sudah ditutup.

Minggu ini sahaja menurut laporan Bangladesh, seramai 4,000 hingga 5,000 pelarian Rohingya menyeberangi sempadan setiap hari dengan 10,000 pelarian lagi masih menunggu di sempadan.  – AFP, 5 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen