PEMENDEKKAN tempoh lantikan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia (UPM) Syed Razlan Syed Putra Jalalullail berkemungkinan besar dibuat atas nasihat yang salah dan untuk melindungi salah laku dalam tadbir urus universiti itu, kata Persatuan Alumni UPM.
“Kami percaya tindakan YB Menteri memendekkan pelantikan YAM Dato’ Seri DiRaja sebagai pengerusi LPUPM dan sekali gus melantik seorang pengerusi baru dalam surat lain juga bertarikh 17 Julai 2019 berkemungkinan besar dibuat berdasarkan nasihat yang salah.
“Ini telah menyebabkan YB Menteri membuat tindakan yang tidak tepat. Kami yakin dan percaya adanya satu komplot untuk melindungi mereka yang terbabit didalam salah laku governan UPM,” kata Presiden Persatuan Alumni UPM Raihan Sharif dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum penamatan itu, Raihan berkata, Kementerian Pendidikan ada meminta Syed Razlan untuk menyiasat tiga pegawai kanan UPM.
Tambahnya lagi, salah sebuah anak syarikat UPM juga meminta Syed Razlan melakukan audit bebas syarikat dan ia sedang dijalankan.
Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga melakukan serbuan ke atas anak syarikat universiti itu dan merampas beberapa dokumen penting, kata Raihan lagi.
Tetapi, sebelum sempat audit dimuktamadkan, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik membuat keputusan menamatkan khidmat Syed Razlan hanya selepas 10 bulan dilantik dan melantik bekas naib canselor Universiti Malaya Ghauth Jasmon berkuatkuasa 17 Ogos. – 5 Ogos, 2019.
Komen