Kazuo Ishiguro menang Nobel Sastera 2017


Penulis Britain, Kazuo Ishiguro yang berketurunan Jepun terpilih untuk menerima Hadiah Nobel Sastera 2017. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2017.

PENULIS Britain, Kazuo Ishiguro yang terkenal dengan novelnya “The Remains of the Day”, hari ini dinamakan sebagai penerima Hadiah Nobel Sastera 2017.

Akademi Sweden yang mengumumkan penghormatan kepada Ishiguro memuji karya-karyanya sebagai “novel-novel yang mempunyai kekuatan emosi” yang dapat “menyelongkar lubuk di sebalik ilusi keterkaitan kita dengan dunia.”

Terjemahan “The Remains of the Day” pernah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1994 dengan judul “Penghujung Senja”. Novel itu diterjemahkan ke Bahasa Melayu oleh Hamdan Yahya dan Shamsuddin Jaafar.

Novel itu juga pernah memenangi Hadiah Booker pada 1989. Pada 1993, ia diangkat ke layar perak oleh pengarah James Ivory dan menampilkan lakonan mantap Anthony Hopkins dan Emma Thompson.

Pemilihan Ishiguro ini agak memeranjatkan dunia sastera kerana mengetepikan beberapa nama lain yang disebut-sebut seperti Margaret Atwood, Ngugi Wa Thiong’o dan Haruki Murakami.

Ishiguro yang sudah menghasilkan lapan buah novel dan diterjemahkan ke 40 bahasa dunia menyifatkan anugerah itu sebagai “penghormatan yang memeranjatkan”.

Kepada stesen berita BBC, beliau berkata sudah dihubungi oleh jawatankuasa Nobel dan masih belum pasti apakah maklumat yang disampaikan kepadanya itu berita palsu atau benar.

“Ini satu penghormatan yang luar biasa, terutamanya kerana ia bermakna saya mengikut jejak langkah penulis besar yang pernah ada. Ini sebuah penghormatan luar biasa,” katanya seperti dipetik oleh BBC.

Ishiguro lahir Nagasaki, Jepun pada 1954 sebelum berpindah ke England dengan keluarganya apabila ayahnya mendapat kerja sebagai penyelidik laut.

Beliau kemudian belajar jurusan Bahasa Inggeris dan falsafah di Universiti Kent sebelum kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam penulis kreatif di Universiti East Anglia. – 5 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen