POLIS menahan 28 lelaki bagi membantu siasatan pergaduhan dua kumpulan ketika satu perarakan keagamaan diadakan di Kuil Kaliamma, Bestari Jaya, Kuala Selangor, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat, berkata tangkapan dilakukan polis dari Cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Jabatan Siatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan JSJ Kuala Selangor.
“Kesemua mereka akan dipohon reman pagi ini di Mahkamah Majistret Kuala Selangor.
“Suspek lain masih diburu,” katanya.
Menurut Fadzil, polis turut merampas lima bilah senjata tajam.
Sementara itu, BH melaporkan seorang anggota polis menerima enam jahitan selepas ditetak ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.
Seorang orang awam turut dilaporkan cedera sebahagian tapak tangan kiri akibat ditetak dengan parang.
Menurut polis, dua kumpulan itu bertengkar mengenai pemasangan khemah yang kemudian berlarutan membawa kepada pergaduhan dengan parang.
“Pihak polis yang bertugas di situ cuba mententeramkan keadaan dan membuat tangkapan namun turut diserang,” kata Fadzil.
Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas jenayah merusuh dengan senjata dan Seksyen 326 kanun sama bagi jenayah menyebabkan kecederaan parah. – 5 Ogos, 2019.
Komen