Prestasi perdagangan akan bertambah baik tahun ini, kata Kian Ming


Ragananthini Vethasalam

Putrajaya optimis akan wujud peningkatan perdagangan tahun ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2019.

SELEPAS penurunan kecil dalam angka perdagangan pada separuh pertama tahun ini, Putrajaya optimis akan menyaksikan sedikit peningkatan dalam prestasi perdagangan bagi tempoh setahun, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming.

Dalam temu bual eksklusif baru-baru ini dengan The Malaysian Insight, Ong berkata penurunan kecil dalam jumlah perdagangan pada separuh pertama tahun ini bukan hanya disebabkan oleh perang perdagangan Amerika Syarikat-China tetapi juga faktor lain seperti keadaan perdagangan dan pelaburan global yang lebih rendah selain pengeluaran lebih perlahan disebabkan cuti Tahun Baru Cina yang panjang pada Februari.

Angka perdagangan yang dikeluarkan minggu lepas menunjukkan jumlah perdagangan Malaysia menguncup sebanyak 1% kepada RM895.95 bilion bagi enam bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama pada 2018.

Bagaimanapun bagi Jun, Malaysia merekodkan lebihan dagangan sebanyak RM10.26 bilion, iaitu 71% lebih tinggi berbanding bulan yang sama tahun lepas.

“Sudah tentu bagi tempoh setahun kami optimistik akan melihat pertumbuhan perdagangan,” kata ahli Parlimen Bangi itu.

Katanya, Malaysia mempunyai ekonomi jauh lebih pelbagai berbanding negara lain seperti Singapura yang terjejas, dengan itu Malaysia mampu mengurangkan kesan negatif yang berpunca daripada ketidaktentuan global.

Ditanya sama ada prospek ekonomi global yang suram dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan pertumbuhan sebanyak 3.2% berbanding 3.3% untuk 2019, menjadi kebimbangan bagi Malaysia, Ong berkata ketidaktentuan global terus menjadi faktor risiko.

“Ini menjadi kebimbangan tetapi kami masih optimis dan yakin bahawa asas ekonomi domestik kita dapat membantu mengharunginya.

“Kementerian Kewangan mengunjurkan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negeri Kasar) antara 4.3 hingga 4.9%. Oleh itu, kita harap dapat keluar pada tahap lebih tinggi daripada pertumbuhan yang diunjurkan walaupun saya tahu kesepakatan di kalangan kebanyakan ahli ekonomi adalah lebih cenderung berpegang pada pertengahan julat tersebut. – 6 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen