Bekas penghuni JKM mahu 'kad khas' diperakui agensi kerajaan


Nabihah Hamid

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia, Mohamad Khairul Hafiz Abdullah berharap kad pengenalan diri khas yang ingin diperkenalkan itu berbeza dan mempunyai kelebihan bagi membantu bekas penghuni institusi kebajikan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Arifin, 5 Oktober, 2017.

KERAJAAN perlu memastikan kad pengenalan diri khas untuk bekas penghuni institusi kebajikan mendapat pengiktirafan semua agensi kerajaan.

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), Mohamad Khairul Hafiz Abdullah berkata, ia bagi melindungi bekas jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada tertindas.

“Apa kelebihan kad tersebut? Adakah pihak berkuasa tempatan polis dan imigresen tahu tentang kewujudan kad tersebut? Bagi saya, (kad ini) ia perlu diperakui semua agensi kerajaan, polis, hospital malah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kalau kad itu sesuatu yang berbeza, kita terima kalau ada kelebihan. Kalau setakat untuk kepentingan peribadi, tidak perlu bazir duit rakyat,” kata bekas penghuni rumah Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Rohani Karim mengenai pengguatkuasaan kad pengenalan diri sementara bagi bekas penghuni JKM minggu lalu.

Menurut Kosmo, dokumen tersebut akan diberikan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas dan telah keluar daripada rumah kebajikan bagi membolehkan mereka mendapat manfaat pekerjaan dan pendidikan.

Justeru, Khairul menegaskan kerajaan perlu serius menangani masalah identiti bekas penghuni yang tidak mempunyai kad pengenalan diri.

Dakwanya, kebanyakan bekas jagaan JKM hidup merempat kerana sering dianiaya dan ditindas dalam soal pekerjaan.

“Saya perlukan sokongan semua pihak. Masalah kad pengenalan ini menjadi punca utama. Banyak negatif daripada positif. Saya dilabel macam-macam.

“Anak-anak ini dibesarkan oleh JKM, mereka keluar institusi, kerja tetap pun tiada. Ada majikan ambil kerja, gaji tak bayar,” kata Khairul lagi.

Bekas penghuni yang lebih 20 tahun meninggalkan rumah JKM sebelum itu berkunjung ke KPWKM bagi mendapat penjelasan lanjut mengenai isu kad pengenalan anak-anak di bawah JKM.

Mahu saman menteri

Dalam pada itu, Khairul mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Rohani mengenai laporan Bernama yang menuduh beliau dibayar selepas satu video pendedahan pada 2012.

Menteri dan agensi berita itu diberi tempoh seminggu untuk memohon maaf selepas video mengenai JKM mengabaikan penghuninya tular di media sosial baru-baru ini.

Khairul berkata, laporan bertajuk “KPWKM Buat Laporan Polis, MCMC Video ‘Kitar Semula’ Tular” adalah tidak benar beliau tidak dibayar untuk mendedahkan isu berkaitan JKM.

“Saya bagi Menteri (Rohani Karim) tempoh seminggu. Heret kedua-dua (Rohani dan Bernama) ke mahkamah.

“Daripada (laporan) itu, buktikan saya dibayar, oleh siapa saya dibayar. Saya minta kerjasama tunjukkan akaun saya kalau saya dibayar. Akaun (NGO) Perbak bukannya banyak duit,” katanya lagi.

Dalam laporan Bernama pada 25 September lalu, Rohani dilaporkan berkata yang Khairul mengadakan pertemuan dengannya bagi memberikan penjelasan lanjut serta mengaku dibayar.

Rohani turut berkata, video yang tular pada 2012 itu dikitar semula bagi tujuan politik dan ia menjejaskan imej kementerian dan JKM.

Dalam video itu, Khairul turut mendakwa seramai 1,758 individu yang keluar daripada pusat jagaan JKM masih tidak mendapat status warganegara.

Beliau menyalahkan JKM yang didakwa tidak menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan mereka hanya mendapat status pemastautin sementara.

Katanya, perkara itu juga terjadi kepadanya yang terpaksa “hidup merempat” selama enam tahun setelah keluar daripada pusat jagaan JKM di Durian Daun, Melaka, sehinggalah beliau mendapat taraf kewarganegaraan pada 2011.

Sementara itu, Khairul turut meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat akaun miliknya sekiranya benar beliau dibayar pihak tertentu.

Katanya lagi, beliau bertindak membantu anak-anak JKM memandangkan beliau sendiri pernah berada di tempat mereka.

“Ini bukan isu politik tapi kemanusiaan. Bila anak JKM merempat tepi jalan baru mereka (kementerian) sedar isu ini wujud,” tegasnya. – 5 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen