Lawatan Prayut pulih hubungan Thailand-AS


Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha bertemu Presiden Donald Trump semasa lawatannya ke Amerika Syarikat baru-baru ini. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2017.

LAWATAN Perdana Menteri Thai Jen Prayut Chan-o-cha ke Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini dilihat sebagai “kemenangan” untuk beliau dari segi mendapatkan pengiktirafan Washington selepas hubungan yang terjejas sejak beberapa tahun di bawah pentadbiran AS yang lalu.

Semasa pentadbiran Barack Obama, hubungan antara kedua-dua negara sahabat itu di rantau ini terjejas berikutan tindakan tentera Thai mengambil alih kuasa pada Mei 2013.

“Berkunjung ke AS kali ini, saya ingin nyatakan saya lebih gembira daripada sebarang ketika di masa lampau, oleh kerana saya rasa telah temui rakan sebenar,” Prayut disebut berkata demikian oleh media tempatan yang meliputi lawatan beliau ke AS itu di mana beliau menemui Presiden Donald Trump di Oval Office.

Prayut mengambil perhatian yang beliau adalah perdana menteri Thai pertama yang mengadakan pertemuan dengan presiden AS di White House dalam tempoh 12 tahun ini.

Selain mengangkat hubungan bilateral dua negara itu ke tahap baharu, kedua-dua pemimpin juga membincangkan kerjasama ekonomi terutama berhubung perkara berkaitan imbangan perdagangan yang ketika ini begitu memihak kepada Thailand.

Dalam separuh pertama tahun ini, imbangan dagangan AS dengan Thailand adalah negatif AS$11.45 bilion, menurut US Census Bureau.

“Saya fikir kami perlu jual lebih banyak lagi kepada anda sekarang, jadikannya lebih baik, jika itu mungkin,” Trump disebut berkata semasa pertemuan dengan Prayut di White House.

Susulan lawatan Prayut itu, syarikat Thai, Siam Cement Group (SCG) bersetuju membeli 155,000 tan metrik arang batu AS untuk kilang simen di Thailand dan negara-negara Asean lain, sambil mengurangkan import arang batu dari Indonesia.

Syarikat-syarikat Thai lain juga bersetuju juga meningkatkan urusan bisnes di AS, termasuk  PTTGC America LLC, subsidiari PTT Global Chemical yang menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan JobsOhio semasa lawatan itu.  

Menurut media tempatan, syarikat itu sedang menimbang melabur di kompleks petrokimia bernilai kira-kira 200 bilion Baht (RM25 bilion) di AS.

Beberapa syarikat Thai yang mempunyai pelaburan AS$5.6 bilion di AS, juga berikrar menambah pelaburan mereka.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan yang juga menteri pertahanan berkata angkatan tentera Thai merancang membeli helikopter penyerang.

Bercakap kepada pemberita di Bangkok semalam, Prawit berkata, pengumuman mengenai rancangan perolehan helikopter itu tidak harus dilihat sebagai percubaan untuk menyedapkan hati AS.

Angkatan Tentera Thai mempunyai enam helikopter penyerang Cobra, tetapi empat telah ditamatkan tauliah.  

Tentera Udara Diraja Thai juga mempunyai rancangan untuk menaik taraf armada jet pejuang F-6 miliknya, sementara tentera laut merancang melengkapkan kapal-kapal dengan misil anti-kapal Harpoon, kedua-duanya dikeluarkan oleh konglomerat pertahanan AS. – Bernama, 5 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen