Dr Mahathir hanya berjuang untuk diri sendiri, kata Ku Li


SM Amin

Tengku Razaleigh Hamzah berkata ahli Umno tidak perlu melayan rayuan menyertai Bersatu kerana ia tidak akan menguatkan kuasa politik orang Melayu seperti yang didakwa oleh Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2019.

SERUAN Dr Mahathir Mohamad supaya ahli Umno menyertai Bersatu hanya untuk memperkukuhkan kedudukan perdana menteri itu, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno itu berkata, ahli parti tidak perlu melayan rayuan tersebut kerana ia tidak akan menguatkan kuasa politik orang Melayu seperti yang didakwa oleh Dr Mahathir.

“Jangan kita bimbang dengan apa yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin PH (Pakatan Harapan). Dia hendak tengok orang Umno masuk Bersatu untuk kukuhkan kedudukan Melayu.

“Dia itu siapa? Kita bersatu. Dia yang tidak bersatu, dia lari,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Bagan Datuk hari ini.

Katanya, beliau melihat ia adalah kempen serupa yang dijalankan sewaktu beliau menentang Dr Mahathir untuk jawatan presiden Umno pada 1987 yang membawa kepada pengharaman parti.

Jelas Tengku Razaleigh, Dr Mahathir pada waktu itu melabelkan beliau dan pemimpin Umno lain termasuk Tengku Abdul Rahman, Hussein Onn dan Musa Hitam sebagai makhluk perosak.

“Dia (Dr Mahathir) sengaja hendak burukkan kita supaya dia boleh memagarkan parti yang dia tubuh (Umno baru) supaya kita tidak menyertai parti itu,” katanya.

Jelas putera istana Kelantan itu, tindakan itu untuk membendung pengaruh seorang lawan Dr Mahathir, Musa Hitam waktu itu yang popular di kalangan guru.

“Sebenarnya dia takut ketika itu sehingga dia mengharamkan cikgu-cikgu daripada aktif dalam Umno.

“Semua cikgu diharamkan memegang jawatan dalam Umno kerana dia takut dengan Musa Hitam. Musa Hitam sangat popular dikalangan cikgu-cikgu di seluruh negara.

“Oleh itu, kita menjadi lemah. Inilah perbuatan yang hanya melihat kepada diri dan tidak lagi kepada perjuangan yang mesti diutamakan oleh kita,” ujarnya.

Susulan perpecahan parti itu, Tengku Razaleigh menubuhkan Semangat 46 sebelum pilihan raya umum (PRU) pada 1990.

Parti itu bekerjasama dengan beberapa parti pembangkang utama ketika itu seperti PAS, DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Pada Julai lalu Dr Mahathir mempelawa politik Melayu termasuk Umno menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu yang kini berpecah kepada enam parti.

Bagaimanapun, Umno menolak tawaran itu kerana Bersatu menjalinkan kerjasama dengan DAP. – 4 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen