RUANG khas di tengah ibu kota ini menjadi tempat perlindungan golongan transgender dan pekerja seks yang tidak berumah untuk berteduh.
Ia menjadi perhentian untuk mereka mendapatkan makanan bagi mengalas perut, membersih diri dan untuk melelapkan mata seketika.
Di sini, tiada pihak yang akan memandang serong terhadap mereka.
Kehadiran mereka dirai dan golongan ini juga dibantu untuk mencapai taraf hidup lebih baik.
Menurut Pertubuhan Pembangunan Kebajikan dan Persekitaran Positif Malaysia (Yayasan Seed), pusat ini juga ditubuhkan untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan.
Pengarah eksekutifnya, Yusmar Yusof berkata kesukaran mendapatkan pekerjaan menyebabkan golongan tersebut dibelenggu masalah kewangan sedangkan mereka amat berbakat.
“Kebanyakan transgender dalam komuniti adalah golongan gelandangan. Jadi cabaran untuk mereka adalah luas. Ia bermula dari muda, separuhnya pelajaran tidak habis.
“Dan sebab itu pekerjaan mereka dapat mungkin bukan yang boleh memberikan mereka kehidupan yang mampan. Jadi mereka akan bekerja sebagai pekerja seks, dan seperti mungkin kerja di gerai-gerai.
“Bila itu berlaku pada diorang kita bercakap mengenai kelangsungan hidup dengan kos ekonomi yang tinggi. Jadi kita kena buat sesuatu,” katanya.
Untuk tujuan itu, pusat itu juga bekerjasama dengan perusahaan sosial GoJob untuk menyediakan pekerjaan yang sesuai dengan golongan transgender.
Antara usaha yang dilakukan adalah membuka temuduga di pasaraya yang diselia oleh koordinator program Jane Karim.
Golongan transgender yang tidak berumah itu juga dirujuk ke klinik sekirannya kesihatan mereka kurang baik untuk mendapatkan rawatan.
Mereka akan membantu sekiranya golongan ini ingin berubah dari melakukan kerja seks kepada pekerjaan bekerja di hotel atau pusat beli-belah, kata Manja Nasir, seorang pekerja lapangan.

“Kita akan cuba berhubung dengan sumber manusia atau syarikat yang boleh terima mereka,” katanya.
Tambahnya, golongan ini juga mendapat bantuan guaman bagi membantu mereka menghadapi kes seperti kekerasan dan rompakan.
“Ada kes-kes mereka dipukul, dirompak kita akan bantu mereka jumpa pihak berkuasa.
Namun cabaran lebih besar dihadapi sehari-hari oleh golongan ini adalah peminggiran dan dipandang serong masyarakat, kata Manja, seorang transgender yang merasai sendiri perkara itu.
“Kita tak minta banyak terima kita seadanya dan ketahuilah kami ini memang wujud dibumi ini. Kita tidak minta hak yang istimewa tetapi hak kami sebagai manusia,”
“Kebanyakan transgender wanita itu mereka berbakat cuma mereka tidak ada peluang dan disekat oleh sesetengah syarikat,” katanya.
Yusmar pula berkata, selain bantuan kebajikan dan nasihat perundangan, yayasan ini juga turun padang untuk memberi pendedahan bahaya jangkitan HIV kepada masyarakat di Kuala Lumpur terutamanya pekerja seks.
Menurutnya program itu mendapat kritikan kerana dianggap menggalakkan dagangan seks namun ia tetap lebih berkesan membendung penyakit itu.
“Kita beri informasi mengenai AIDS, bekalkan kondom juga. Ada orang kata bila bagi kondom seperti menggalakkan (maksiat) tetapi sekarang mana lebih baik, cegah atau rawat,” katanya.
Katanya, yayasan itu ingin memastikan golongan transgender yang tidak berumah ini tidak dipinggirkan dari masyarakat.
“Seperti dalam tagline kita, Dunia yang tiada sesiapa yang ditinggalkan. Saya harap ramai yang turun membantu kerana kita bergantung kepada dana orang ramai.
“Persepsi masyarakat yang mencemuh dan diskriminasi ini adalah satu cabaran. Mereka tidak faham, apa kami nak buat pun terbatas kerana tidak diberi peluang,” katanya. – 4 Ogos, 2019.
Komen