Umno-PAS mampu tawan 8 negeri, kata Mat Hasan


Mohd Farhan Darwis

Umno percaya kerjasama dengan PAS akan membolehkan pembangkang membentuk kerajaan dengan menawan empat lagi negeri dikuasai PH. – Gambar AFP, 3 Ogos, 2019.

KERJASAMA dengan PAS akan membolehkan pembangkang membentuk kerajaan dengan menawan empat lagi negeri dikuasai Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Mohamad mendakwa kerjasama Umno dan PAS itu akan membolehkan mereka menguasai Perak, Kedah, Melaka, dan Negeri Sembilan.

Ia akan menjadi tambahan kepada Pahang dan Perlis yang dikuasai Barisan Nasional (BN), serta Terengganu dan Kelantan yang dikuasai PAS, katanya.

“Di Negeri Sembilan, Melaka, melalui perpaduan dan penyatuan ummah kita boleh ambil semula, Perak, Kedah… (untuk menang) lapan negeri,” kata Mohamad.

Adun Rantau itu berkata suasana di Johor sedikit sukar memandangkan BN dan PAS hanya menguasai 17 daripada 56 kerusi DUN.

Bagaimanapun katanya, jika rundingan dibuat dengan baik, mereka akan dapat menawan 10 lagi kerusi dalam pilihan raya akan datang dan hanya memerlukan satu kerusi sahaja lagi untuk menang.

“Kalau pakat elok-elok, runding elok-elok saya nampak 10 DUN dah boleh ditawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Dah ada 27 kerusi, perlu cari lagi satu kerusi.

“Jangan cepat putus asa, ini rahmat Allah. Rahmat Allah bukan dalam bentuk kita suka saja, dalam duka ada rahmat juga,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno Kluang, Johor.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata kerjasama dengan PAS akan membolehkan mereka menguasai Perak, Kedah, Melaka, dan Negeri Sembilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2019.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata setiap negeri harus merangka rancangan tersendiri dengan strategi penyatuan ummah itu kerana setiap negeri berhadapan isu berlainan.

“Jadi boleh buat bisnes model masing-masing ikut negeri, buat elok-elok,” kata Mohamad.

Beliau juga menasihati ahli Umno agar tidak terlalu ghairah mengeluarkan kenyataan berkaitan pembahagian kerusi antara dua parti Melayu itu susulan kerjasama antara mereka.

“Jangan cakap pasal kerusi di surat khabar, ini supaya tak mematahkan semangat kita untuk bersatu, tolong jangan cakap soal pembahagian kerusi biar pucuk pimpinan tentukan, runding sama-sama, setuju sama-sama.

“Biar pucuk pimpinan kita buat keputusan, hormatlah mereka, bila kita dah bagi kepercayaan kepada mereka, yang penting kita nak PRU15 PH tak lagi jadi kerajaan. Kalau ini boleh buat tidak ada masalah,” katanya.

Mohamad berkata ahli Umno tidak harus menggagalkan usaha berkenaan dengan mengutamakan kepentingan sendiri kerana penyatuan ummah itu akan menjadi agenda nasional.

“Mari kita bajai benih pokok perpaduan ummah ini, jangan pula kita petik pucuknya untuk dibuat ulam,” katanya.

Umno dan PAS akan memuktamadkan kerjasama antara kedua-dua parti dengan memeterai piagam dan memorandum persefahaman (MoU) pada 14 September depan.

Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra. – 3 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen