MCA boleh ikut jika faham kerjasama dengan PAS, kata Umno


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata kerjasama dengan PAS akan melibatkan parti komponen BN dan NGO. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2019.

KERJASAMA dengan PAS akan turut melibatkan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan NGO membentuk blok pembangkang yang kuat, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Katanya, kerjasama untuk penyatuan ummah itu akan membolehkan mereka bagi mengawal tindak tanduk kerajaan Pakatan Harapan (PH)

“Kita hendak bentuk blok pembangkang yang ada kredibiliti dan efektif untuk hadapi Pilihan Raya Umum ke-15.

“Rakyat hendak lihat pembangkang yang kuat dan efektif. (Jika) hendak jadi pembangkang yang kuat kena bersama-sama. Kita akan ada satu blok.

“Kalau kerajaan terlalu kuat rakyat menderita kerana tidak ada orang semak dan imbang kerajaan,” katanya.

Buat masa ini, MIC sudah menerima konsep kerjasama dengan PAS itu, kata Adun Rantau itu ketika merasmikan mesyuarat Umno Kluang hari ini.

“MCA dan rakan-rakan lain kalau faham konsep ini, boleh turut serta,” katanya lagi yang berharap blok pembangkang itu mampu menjalankan peranan semak dan imbang.

Beliau juga memberi jaminan kepada parti komponen agar tidak gusar dengan kerjasama bersama PAS.

“Datanglah parti mana pun nak bersama, rakan-rakan BN, bukan Melayu, bukan Islam jangan takut, jangan cemburu hati. Penyatuan ummah, ummah itu perkataan Arab, bahasa Melayu umat, maknanya semua orang.

“Fasa pertamanya sebagai parti Melayu terbesar Umno dan PAS mesti bekerjasama politik kerana nak pastikan jangan ada pertandingan tiga penjuru dalam pilihan raya,” kata Mohamad.

Reaksi parti komponen BN ke atas kerjasama itu menjadi perhatian kerana kalangan parti itu sering berlaga angin dengan PAS, terutama dalam isu penguatkuasaan undang-undang syariah. 

Salah satunya, MCA yang tegas menentang usul PAS di Parlimen untuk meningkatkan bidang kuasa hukuman Mahkamah Syariah bagi kesalahan jenayah syariah.

Umno menyokong PAS dalam usul tersebut dan turut menyertai perarakan besar pada 2007 untuk meminda akta Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Bagaimanapun, Dewan Rakyat yang dikuasai BN tidak membahaskan usul pindaan yang popular dengan jolokan RUU355 itu pada penggal lalu.

Umno dan PAS akan memuktamadkan kerjasama antara kedua-dua parti dengan memeterai piagam dan memorandum persefahaman (MoU) pada 14 September.

Piagam dan MoU itu akan ditandatangani sendiri oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu majlis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). – 3 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen