Setiausaha Negara AS nafi khabar angin letak jawatan 


Rex Tillerson menafikan khabar angin kononnya beliau mengkritik Presiden Donald Trump secara peribadi dan akan meletakkan jawatan. – Gambar EPA, 5 Oktober, 2017.

SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS), Rex Tillerson pada Rabu menafikan khabar angin kononnya beliau mengkritik Presiden Donald Trump secara peribadi dan akan meletakkan jawatan pada musim panas, lapor agensi berita China Xinhua.

“Naib Presiden Mike Pence tidak pernah menyakinkan saya untuk kekal menjadi setiausaha negara kerana saya tidak pernah berhasrat untuk melepaskan jawatan.

“Komitmen untuk melihat kejayaan negara dan presiden masih utuh sejak menerima tawaran berkhidmat sebagai setiausaha negara sehingga ke hari ini,” kata Tillerson dalam satu taklimat media di Jabatan Negara.

Khabar angin itu timbul beberapa jam selepas media AS melaporkan Tillerson dikatakan menggelar Trump “dungu” dan Pence terpaksa memujuk Tillerson untuk kekal dalam pentadbiran.

“Ketika baru datang ke Washington, saya menyedari terdapat segelintir orang cuba mewujudkan perselisihan demi memajukan agenda mereka dengan menjatuhkan orang lain, selain bertujuan melemahkan pentadbiran Presiden Trump,” kata Tillerson.

“Laporan NBC News disangkal oleh Tillerson dan Pence, ia berita palsu. Mereka perlu mengemukakan permohonan maaf kepada Amerika!”  kata Trump menerusi twitternya.

“Saya berkeyakinan penuh dengan Rex Tillerson,” katanya kepada wartawan di Las Vegas.

Meskipun laporan berkenaan dinafikan, namun White House dan Jabatan Negara kebelakangan ini sering memperlihatkan terdapat perbezaan pandangan yang ketara antara kedua-dua pihak mengenai dasar luar negara termasuk isu nuklear dengan Korea Utara.

Sementara Tillerson berkata beliau komited untuk melibatkan diri dalam isu nuklear, Trump pula dilaporkan menulis di twitter Tillerson sekadar “membuang masa,” dan “AS akan melakukan apa yang perlu”. – Bernama, 5 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen