Rakyat Malaysia tidak kisah tentang pemakanan, kata pakar ekonomi 


Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Jomo Kwame Sundaram makanan yang diambil rakyat Malaysia masih tidak mencapai standard keselamatan makanan antarabangsa.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Ogos, 2019.

RAKYAT Malaysia kurang mengambil berat tentang keselamatan dan kualiti makanan mereka, kata Ahli Majlis Tindakan Ekonomi Jomo Kwame Sundaram.

Beliau berkata, ini membuktikan makanan yang diambil rakyat Malaysia masih kurang nutrisi yang diperlukan dan tidak mencapai standard keselamatan makanan antarabangsa.

Sebagai contoh negara seperti Singapura. Singapura tidak mengeluarkan makanan mereka sendiri, dan mereka masih memiliki kawalan keselamatan makanan yang tinggi,” kata Jomo pada perbincangan mengenai keselamatan makanan di Kuala Lumpur.

“Kamu tidak perlu hasilkan sendiri semuanya. Apa yang penting ialah untuk cuba pastikan rakyat Malaysia mendapat nutrisi dan makanan yang selamat. Sekarang ini rakyat Malaysia makan terlalu banyak makanan ringan.

“Kita sangat teruk dalam masalah obesiti dan diabetis. Kita ada ramai kanak-kanak yang terbantut dan wanita yang mengalami anemia.

“Kita hadapi banyak masalah yang berpunca dari pada diri sendiri kerana perubahan diet berpunca daripada gaya hidup moden,” kata Jomo yang juga ahli Majlis Penasihat Kerajaan.

“Kita hanya ambil berat mengenai pengunaan bahan kimia toksik secara berlebihan dalam pertanian apabila eksport makanan kita ditolak oleh negara lain. Kita perlu ambil berat mengenainya setiap hari, dengan apa yang kita makan, apa yang anak-anak kita makan.”

Beliau juga berkata sasaran dasar Malaysia untuk mencapai sara diri bagi bekalan beras tidak berasaskan keselamatan makanan.

Terdahulu semasa perbincangan itu, penyelidik Institut Penyelidikan Khazanah, Tan Zhai Gen berkata sasaran dasar untuk bekalan beras adalah warisan sejarah kolonial, yang mana British berusaha menghasilkan dan tidak mengimport beras untuk memaksimumkan pendapatan bersih tukaran asing.

Ia juga merupakan kesan daripada pasca perang, iaitu makanan yang tidak mencukupi semasa pendudukan Jepun dan kekurangan makanan selepas perang, katanya.

Turut hadir felo kanan KRI, Fatimah Mohamed Arshad, Presiden Persatuan Agroekologi Malaysia untuk Peningkatan Sumber Daya Lestari, Anizan Isahak dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian Zunika Mohamed.

“Apa yang berlaku ialah dasar yang diperkenalkan oleh British masih diteruskan sehingga kini.

“Apabila British memerintah kita, kepentingan utama adalah untuk memaksimumkan jumlah tukaran asing yang boleh kita hasilkan.

“Bagi mereka, semakin kurang beras kita import, makin bagus bagi mereka. Itu sebabnya mereka mahu tanam padi di Kerian untuk negeri persekutuan. Dasar ii diteruskan terutamanya selepas pendudukan Jepun, apabila pengeluaran beras terganggu dan sejak itu, kita menjadi bimbang dengan bekalan beras,” kata Jomo.

“Ini memfokuskan kepada pengeluaran beras sendiri yang diteruskan sejak bertahun lamanya namun dunia kini sudah berubah.”

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub tahun lalu berkata, Malaysia mensasarkan pengeluaran beras sebanyak 80% menjelang 2022, peningkatan 10% daripada yang sedia ada.

Kerajaan berharap untuk mencapainya dengan meningkatkan varian beras dan baja serta membuka pintu untuk teknologi dari China, Taiwan dan Jepun.

Stok beras yang dimiliki Malaysia hanya mampu bertahan selama 22 hari. – 4 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen