Keberanian dan kesedaran bertambah bakal tingkatkan laporan jenayah seksual


Desmond Davidson

Kesedaran masyarakat dan keberanian mangsa tampil membuat laporan dijangka meningkatkan laporan jenayah seksual termasuk kes sumbang mahram di Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2017.

SEORANG pekerja sosial menyifatkan peningkatan kesedaran tentang jenayah seksual terhadap kanak-kanak adalah salah satu punca peningkatan mendadak kes sumbang mahram dilaporkan di Sarawak.

Ini menyebabkan lebih ramai mangsa memperolehi keberanian untuk melaporkan gangguan seksual yang dialami mereka, kata Gill Raja dari Sarawak Women for Women Society (SWWS), sebuah organisasi bukan kerajaan yang membantu wanita bermasalah.

Tetapi bekas pensyarah pengajian sosial itu menjangkakan lebih banyak laporan gangguan seksual termasuklah sumbang muhram akan dibuat kerana jumlah semasa tidak mencerminkan situasi sebenar berdasarkan kajian yang dilakukan beberapa tahun lalu yang menunjukkan kes sebegitu lebih tinggi berbanding angka rasmi.

Minggu lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rohani Abdul Karim berkata yang di Sarawak sahaja, terdapat 3,272 kes sumbang mahram dilaporkan antara 2006 sehingga 2015.

Majoriti mangsa berusia antara 13 hingga 15 tahun, kata Rohani.

Rakan sejawatnya di Sarawak, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Fatimah Abdullah minggu lepas juga mendedahkan yang terdapat 15 kes sumbang mahram dilaporkan pada hujung bulan lepas berbanding 13 pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Sekarang kita menerima lebih banyak laporan adalah petanda masyarakat lebih sedar tentang masalah ini dan berani buat laporan,” kata Raja.

Ini juga menyebabkan mangsa lain mendapat keberanian untuk melaporkan gangguan seksual yang dialami mereka, tambahnya.

“(Perkembangan) Positif bila satu kes dilaporkan dan didedahkan dalam media, orang lain pula datang ke depan (buat laporan) sepertimana yang berlaku di Sarawak.

“Lebih banyak laporan bermaksud lebih ramai kanak-kanak dipercayai (keterangan mereka) dan dibantu.”

Apa yang diperlukan sekarang adalah sistem sokongan untuk mangsa dan keluarga mereka, kata Raja.

Sarawak digemparkan dengan pelbagai kes rogol dan sumbang mahram tahun ini, salah satunya melibatkan seorang bapa berusia 38 tahun di Sarikei, Sarawak yang dilaporkan merogol anaknya berusia 15 belas tahun selama lebih setahun.

Gadis itu memberitahu warden asrama sekolahnya yang ayahnya melakukan jenayah seksual itu kepadanya di rumah panjang mereka di Sungai Bulat sejak Julai tahun lepas.

Satu lagi kes di Sibu melibatkan seorang ayah berusia 53 tahun dan anak lelakinya berusia 25 tahun yang ditahan kerana melakukan sumbang mahram kepada cucu perempuannya berusia 7 tahun.

Pada Julai pula, seorang datuk berusia 72 tahun di Limbang bersama-sama lima orang lagi didakwa merogol cucu perempuannya berusia 12 tahun. Empat yang lain itu adalah anak lelakinya berusia 40 tahun dan tiga bersaudara berusia antara 16 hingga 21 tahun.

Pada Ogos pula, seorang lagi datuk berusia 57 tahun bersama-sama ayah mangsa dan dua pakcik didakwa di Mahkamah Serian kerana merogol dua beradik perempuan berusia 14 dan 19 tahun sejak lima tahun lepas.

Raja berkata sumbang mahram berlaku kerana kebanyakan pemangsa merasakan “mereka boleh terlepas daripada undang-undang” walaupun mereka tahu itu satu kesalahan.

Pemangsa merasakan “mereka mempunyai lebih banyak kuasa berbanding kanak-kanak itu dan yakin mereka boleh rahsiakan jenayah itu,” katanya lagi.

Raja, bagaimanapun, menafikan yang sumbang mahram mempunyai kaitan dengan kaum tertentu.

“Sumbang mahram boleh berlaku dalam mana-mana kumpulan etnik, ekonomi atau agama. Sangat bahaya untuk fikir sebaliknya kerana orang akan gagal kesan tanda gangguan seksual dalam kumpulan masyarakat yang mereka tidak jangka.

“Oleh kerana kebanyakan kejadian tidak dilaporkan, laporan berasaskan kaum dan sosio-ekonomi perlu ditangani dengan sangat berhati-hati.”

Dia juga menafikan mitos yang sumbang mahram terutama yang berlaku dalam masyarakat luar bandar disebabkan pesalah tidak mempunyai saluran lain untuk melepaskan keinginan seksual mereka.

“Masyarakat perlu sedar yang banyak sebab berbeza mengapa orang melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak walaupun kanak-kanak itu darah daging mereka sendiri.”

Cara paling berkesan untuk menghentikan sumbang mahram adalah untuk mendengar apa yang dikatakan kanak-kanak dan pesalah perlu sedar yang mereka akan ditangkap dan didakwa.

Bagi mengukuhkan kesedaran dan pemahaman jenayah seksual yang lebih baik, Raja mencadangkan sebuah program nasional untuk mengajar kanak-kanak mengenai keselamatan dan sentuhan yang tidak selamat di sekolah.

“Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang baru sahaja diluluskan sangat dialu-alukan kerana Malaysia kini sedar bagaimana penjenayah menyediakan kanak-kanak secara seksual bagi meraih kepercayaan dan membuka peluang supaya mereka boleh menghampiri kanak-kanak tanpa menimbulkan keraguan masyarakat.

“Dengan memahami bagaimana seseorang boleh menjadi penjenayah seksual, kita boleh membantu mencegah jenayah tetapi keutamaan adalah bagaimana untuk memperkasakan kanak-kanak supaya mereka merasa lebih yakin untuk berkata tidak, untuk lari dan beritau- dan orang yang diberitahu itu melaporkan gangguan itu.” – 5 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen