Usah bergaduh lagi, kata naib presiden Umno


Mohd Farhan Darwis

Ahli Umno perlu mesti bersatu dan memastikan akar umbi di kawasan mereka saling bekerjasama dan bersatu untuk menang PRU15, kata naib presiden parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2019.

UMNO harus mengaku kalah tanpa perlu bertanding dalam pilihan raya akan datang sekiranya ahli masih bergaduh sesama sendiri, kata naib presidennya Mahdzir Khalid.

Oleh itu, ahli Umno perlu mesti bersatu dan memastikan akar umbi di kawasan mereka saling bekerjasama dan bersatu untuk menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), katanya.

“Adakah kita nak mati sesama kita bergaduh atau mati dalam pilihan raya? Kalau nak mati sama-sama kita baik mengaku kalah siap-siap. Kita nak berpadu.

“Ini penegasan parti. Pertama, ya, kita mesti ada solidariti, kena kuat dalaman parti, dan kena tengok tempat masing-masing,” katanya ketika merasmikan mesyuarat Umno Sembrong hari ini.

Kalangan pemimpin Umno masih tidak sependapat dalam isu pelantikan bekas presiden Najib Razak sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN).

Penentangan itu antara lain disuarakan secara terbuka oleh dua orang bekas anggota Kabinet Najib, Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Mereka berpendapat, pelantikan itu tidak wajar memandangkan parti itu tewas dalam pilihan raya sewaktu Najib mengepalai Umno.

Adakah kita nak mati sesama kita bergaduh atau mati dalam pilihan raya, soal Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2019.

Mahdzir dalam ucapannya juga berkata, Umno yang dianggotai tiga juta ahli itu memerlukan pejuang untuk memastikan parti itu kembali mendapat sokongan rakyat.

Jelasnya, Umno menyedari parti itu terpisah jauh daripada kerajaan yang dikuasai selama 60 tahun memerintah selepas parti itu tewas dalam pilihan raya umum lalu.

“Bermula 9 Mei 2018 barulah kita sedar Umno terpisah jauh dengan kerajaan. Umno parti politik yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan bila kita kalah.

“Barulah kita sedar kita sebuah parti politik dan masih memerlukan pejuang yang nak berjuang untuk menentukan masyarakat di bawah masih menerima parti ini.

Mahdzir mengingatkan, tanpa kerjasama akar umbi, Umno akan memasuki pilihan raya dalam keadaan lemah.

“Kita kena ada niat biarlah sepenggal jadi pembangkang dan kembali menjadi kerajaan,” kata Mahdzir lagi.

Mahdzir juga mengingatkan bahawa kerjasama Umno dengan PAS perlu diterima kerana ia adalah strategi untuk memenangi pilihan raya.

“Tapi dalam politik, nak menang pilihan raya, kita tak nak hanya jadi badan kebajikan masyarakat. Nak menang pilihan raya kena ada strategi, kalau kata bergabung kita gabung.

“Bila kita bersuara dan diterima pimpinan PAS untuk bekerjasama kita tengok ini jiwa besar, ini bukan untuk ketepikan masyarakat Cina, India, Sabah dan Sarawak,” kata Mahdzir lagi. – 2 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen