AHLI Parlimen pembangkang yang bertemu dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini hanya ingin tahu mengenai kestabilan negara, kata Hishammuddin Hussein.
Bekas menteri pertahanan itu berkata, bukan tiada yang luar biasa mengenai pertemuan itu dan tiada larangan bagi mana-mana pemimpin pembangkang untuk bertemu perdana menteri.
“Apa jua perbincangan, ia bukan perkara unik (perjumpaan itu). Perjumpaan itu untuk membantu melihat ke depan dan memikirkan jalan supaya negara stabil, ekonomi kukuh, perpaduan dijaga sebaik mungkin, serta tiada sebab pembangkang tak boleh jumpa pemimpin kerajaan,” kata ahli Parlimen Sembrong itu kepada pemberita selepas majlis perasmian persidangan Wanita, Pemuda, dan Puteri Umno Bahagian Sembrong, di Kluang, Johor hari ini.
Hishammuddin berkata, pertemuan itu tidak seharusnya menjadi spekulasi kerana ia boleh menjurus kepada berlakunya tuduhan konspirasi.
“Saya nak ingatkan apa juga perjumpaan jangan kita biarkan ia menjadi spekulasi hingga pihak tertentu mewujudkan provokasi, atau tuduhan konspirasi.
“Apa juga perjumpaan yang saya hadir adalah kebaikan untuk tanah air, rakyat dan agama. Jika itu pegangan kita tidak ada siapa boleh menidakkan keinginan kita melihat ke depan secara konstruktif,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas laporan sama ada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali juga hadir dalam pertemuan itu.
“Saya daripada dulu lagi takkan layan spekulasi, provokasi, dan konspirasi. Bila kita layan perkara sebegini tidak ada kesudahan. Sekarang semua orang jumpa semua orang.
“Dr Mahathir cakap perjumpaan biasa dan ada perkaranya kita rahsiakan. Dalam konteks Azmin Dr Mahathir rahsiakan. Siapalah saya nak cerita pasal Azmin. Itu kena tanya beliau sendirilah,” kata Hishammuddin.
Akhbar The Star sebelum ini melaporkan sekumpulan pemimpin pembangkang bertemu Dr Mahathir bagi menyatakan sokongan supaya beliau menghabiskan penggalnya.
Kumpulan itu terdiri daripada wakil rakyat Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Selain Hishammuddin, antara pemimpin pembangkang yang hadir pertemuan itu adalah Naib Presiden PAS Dr Samsuri Ahmad Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.
Memetik sumber, kumpulan itu didakwa menyatakan hasrat untuk menyokong Dr Mahathir terus menjadi perdana menteri dan tidak perlu menyerahkan kuasa pentadbiran kepada Anwar Ibrahim, lapor akhbar itu lagi memetik sumber.
Selain PAS dan Umno, parti seperti GPS, Warisan dan Amanah sudah menyatakan hasrat menyokong Dr Mahathir sehingga habis penggal.
Menurut sumber lagi, wakil rakyat DAP masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu.
Kumpulan itu juga mencadangkan timbalan perdana menteri baharu yang lebih berwibawa dilantik supaya boleh mengambil alih jawatan perdana menteri sekiranya Dr Mahathir terpaksa melepaskan jawatan dan mengelak krisis politik negara.
Sebelum ini, Dr Mahathir pernah mendedahkan adanya pertemuan antara beliau dengan wakil rakyat, tetapi pertemuan malam Selasa lalu adalah pertama kali berlaku secara berkumpulan. – 2 Ogos, 2019.
Komen