Azmin nafi sertai perjumpaan Dr Mahathir dengan pembangkang


Zaim Ibrahim

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata beliau tidak tahu menahu tentang perjumpaan itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Ogos, 2019.

MOHAMED Azmin Ali menafikan beliau terlibat dalam perjumpaan membabitkan wakil rakyat pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan sehingga habis penggal, Selasa lalu.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata beliau tidak tahu menahu tentang perjumpaan itu.

“Saya tidak tahu-menahu tentang mesyuarat itu.

“Saya memang ada banyak mesyuarat dengan Dr Mahathir tetapi hanya memberi keutamaan kepada ekonomi dan kementerian. Sekarang kita perlu menyediakan pelan Rancangan Malaysia ke-12,” katanya dalam satu sidang media di Pulau Pinang.

Timbul desas-desus bahawa Azmin adalah pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) yang menyertai wakil rakyat pembangkang malam Selasa lalu untuk meyakinkan Dr Mahathir supaya menghabiskan penggalnya sebagai perdana menteri. 

The Star semalam melaporkan sekumpulan wakil rakyat pembangkang bertemu Dr Mahathir untuk menyatakan sokongan supaya beliau menghabiskan penggalnya.

Pembangkang yang hadir malam itu terdiri daripada wakil rakyat Umno, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sumber dipetik akhbar itu berkata antara pemimpin pembangkang yang hadir pertemuan itu adalah bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein, Naib Presiden PAS Dr Samsuri Ahmad Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.

Dr Mahathir bagaimanapun menegaskan tidak akan menghabiskan penggalnya dan akan menyerahkan jawatan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim. – 2 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen