TUNTUTAN Orang Asli Temiar di Hulu Perak yang mahu mengubah status agama Islam pada kad pengenalan mereka akan dibawa kepada peguam negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Dr Juli Edo.
Menurut Juli, pihaknya menyerahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy untuk berurusan dengan Pejabat Peguam Negara.
“Kita sudah minta menteri yang berwajib untuk bincang dengan peguam negara kerana jelas kesilapan itu bukan datang daripada Orang Asli.
“Jadi biarlah apa- apa pun mengenai isu ini menteri yang komen,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengakui isu penukaran status itu rumit walaupun Jakoa ada kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Minggu lalu, The Malaysian Insight melaporkan 86 Orang Asli Temiar di Kampung Sungai Papan mahu status agama Islam yang tertera pada kad pengenalan mereka ditukar.
Mereka mendakwa diberi kad pengenalan dengan status Islam walaupun tidak pernah memeluk agama Islam.
Kumpulan Orang Asli itu juga mengadu tentang pegawai di JPN yang menukar nama mereka semasa pendaftaran sehingga menunjukkan seolah-olah mereka memeluk Islam.
Juli yang ditanya sama ada Jakoa akan menyiasat dakwaan itu meminta mereka yang terlibat tampil membuat aduan rasmi kepada pihak jabatan.
“Siasatan hanya boleh dilakukan jika ada aduan, jadi Orang Asli sendiri kena datang pada kita buat aduan, kadang-kadang kita tidak tahu apa berlaku,” katanya.
Sabtu lalu, Waytha dilaporkan berkata akan berusaha agar kerajaan mengiktiraf agama tradisi Orang Asli bagi tujuan rekod dan pendaftaran.
Ini kerana pada masa ini rakyat Malaysia umumnya, termasuk dalam kalangan ahli politik, salah faham dan menganggap Orang Asli tidak ada agama, katanya. – 2 Ogos, 2019.
Komen