KETUA Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata beliau tidak pasti jika ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bertemu Dr Mahathir Mohamad meminta perdana menteri itu menghabiskan penggalnya.
Pengerusi GPS itu berkata setakat hari ini beliau masih belum dimaklumkan berkenaan pertemuan tersebut.
“Saya tak ada ketika itu, jadi saya tak tahu apa-apa,” katanya kepada pemberita ketika ditanya jika permintaan ahli-ahli Parlimen yang diketuai oleh Ketua Whip GPS Fadillah Yusof boleh dianggap sebagai campur tangan mengenai siapa yang akan menjadi perdana menteri seterusnya.
Menurut Abang Johari, ahli-ahli Parlimen dari GPS menerima “jemputan” untuk “berbual-bual” dengan Dr Mahathir.
Beliau tidak menyebut jemputan itu dari siapa tetapi ketua menteri itu berkata jemputan itu diterima untuk “mendengar” apa yang akan dikatakan perdana menteri.
“Saya tak tahu (jika mereka minta perdana menteri habiskan penggal). Mungkin,” katanya.
Presiden Parti Rakyat Sarawak James Masing berkata beliau tidak tahu mengenai pertemuan tersebut.
“Saya tak tahu,” katanya menerusi mesej teks.
Pemimpin Umno dan PAS dilaporkan bertemu Dr Mahathir pada malam Selasa.
The Star yang memetik sumber melaporkan “Mesyuarat itu berlaku pada malam Selasa untuk memberitahu Dr Mahathir yang pembangkang sepenuhnya menyokong beliau sehingga pilihan raya umum akan datang, dan mereka tidak bersetuju beliau menyerahkan pentadbiran kepada Anwar atau sesiapa sahaja”. – 1 Ogos, 2019.
Komen