TEMAN wanita lelaki yang menembak mati 58 orang dan mencederakan beratus yang lain dalam kejadian serangan di Las Vegas berkata dia tidak menjangka yang temannya itu merancang serangan tersebut.
“Saya kenal Stephen Paddock sebagai lelaki yang baik, prihatin dan pendiam,” kata Marilou Danley dalam satu kenyataan dibacakan peguamnya Matthew Lombard. “Saya sayangkan dia dan berharap dapat menjalani hidup bersamanya dengan aman tenteram di masa depan.
“Dia tidak pernah mengatakan apa-apa kepada saya atau bertindak yang boleh membuatkan saya tahu dalam apa cara sekalipun yang sesuatu buruk seperti ini akan berlaku.”
Danley menambah yang dua minggu lalu, Paddock memberitahunya dia sudah membeli sebuah tiket penerbangan murah untuk Danley melawat keluarganya di Filipina.
“Seperti orang Filipina lain di luar negara, saya teruja mahu pulang dan berjumpa keluarga dan kawan-kawan,” kata kenyataan itu. “ Ketika di sana, dia kirimkan wang, yang dikatanya untuk saya membeli rumah bagi saya dan keluarga.”
Katanya, ketika itu dia berasa bimbang, merasakan Paddock mahu memutuskan perhubungan.
“Tidak pernah terlintas dalam fikiran saya yang dia merancang melakukan keganasan terhadap sesiapa.”
Danley berkata dia sangat berduka cita dengan apa yang berlaku pada malam Ahad lalu- kejadian tembakan terburuk dalam sejarah moden AS- dan mendoakan yang baik-baik untuk semua mangsa.
“Saya seorang ibu dan nenek dan saya turut merasai keperitan mereka yang kehilangan orang tersayang,” katanya.
Danley, yang secara sukarela kembali ke Los Angeles pada Rabu menambah yang dia akan memberikan kerjasama penuh kepada siasatan FBI. – AFP, 5 Oktober, 2017.
Komen